Seorang anggota polis maut selepas dirempuh sebuah kenderaan jenis Lexus yang dipandu suspek kes pecah rumah di Taman Golf, di sini, petang semalam.

Mangsa, Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35, dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

Anggota JSJ Kedah Maut Dirempuh Suspek Pecah Rumah, Empat Lelaki Ditahan

Difahamkan kejadian berlaku sekitar jam 3.30 petang ketika sepasukan lima anggota JSJ menjalankan operasi susulan maklumat awam mengenai aktiviti mencurigakan di sebuah rumah. Menurut Ketua Polis Kedah, Komisioner Adzli Abu Shah, anggota terbabit tiba di lokasi dan mendapati sekumpulan lelaki sedang memindahkan sebuah peti besi dari premis berkenaan.

“Salah seorang suspek memandu kenderaan jenis Lexus secara melulu, lalu merempuh mangsa yang baru keluar dari kenderaan pasukan,” katanya.

Rempuhan tersebut mengakibatkan Mohd Hafizul terjatuh dan mengalami kecederaan serius sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang suspek berjaya ditahan di lokasi, manakala tiga lagi melarikan diri menaiki kenderaan sama. Bagaimanapun, selepas kenderaan itu rosak akibat pelanggaran, mereka merampas sebuah kereta milik pasangan warga emas di sebuah hotel berhampiran.

“Pemandu lelaki dihalau keluar, manakala isterinya dibawa bersama di tempat duduk penumpang hadapan,” jelas Adzli. Kereta tersebut kemudian terbabit dalam kemalangan di kawasan Kepala Batas sebelum polis menahan kesemua suspek tidak lama kemudian dan menyelamatkan wanita berkenaan.

Siasatan awal mendapati kesemua suspek berusia antara 24 hingga 26 tahun dan berasal dari Johor. Salah seorang mempunyai 77 rekod jenayah lampau, kebanyakannya melibatkan pecah rumah dan curi kenderaan, manakala tiga lagi memiliki antara dua hingga 30 rekod kesalahan.

Polis percaya kumpulan tersebut bergerak merentasi negeri dan sedang menyiasat kemungkinan terdapat maklumat dalaman yang membantu pergerakan mereka.

Mohd Hafizul, yang berasal dari Setiu, Terengganu, meninggalkan seorang isteri dan empat anak berusia antara empat hingga 11 tahun.

“Beliau gugur ketika menjalankan tugas demi keselamatan masyarakat. Kita akan pastikan keadilan ditegakkan dan dalang kejadian ini dibawa ke muka pengadilan,” tegas Adzli.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 457 kerana menceroboh dan pecah rumah.

Kredit: Sinar Harian

 

[fbcomments]