Sebuah video yang tular baru-baru ini memaparkan keluhan seorang penunggang motosikal yang mendakwa motosikalnya mengalami kerosakan selepas didakwa ‘diganggu’ oleh pihak polis.
Menurut dakwaannya, anggota polis tersebut dikatakan telah mencabut kepala tiub dan membelit pendikit kabel motosikalnya menyebabkan ia tidak dapat berfungsi dengan baik.
Video di bawah:
https://x.com/mynewshub/status/1830248789296521620
Dua Anggota Polis Buat Gangguan Hingga Motor Rosak, PDRM Arah Mangsa Buat Laporan
Dalam rakaman CCTV yang lain, dua anggota polis dilihat menghampiri sebuah motosikal yang diparkir di sebuah stesen minyak di kawasan Kampung Baru Subang. Insiden ini telah menarik perhatian pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang seterusnya menggesa pemilik motosikal berkenaan untuk tampil membuat laporan bagi membantu siasatan lanjut.
Menurut laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh iaitu Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor memaklumkan bahawa pihaknya telah meneliti rakaman CCTV yang diperoleh, yang diambil sekitar jam 1 petang, sehari sebelum video tular tersebut.
Rakaman tersebut menunjukkan anggota rondaan cegah jenayah dari Balai Polis Kampung Baru Subang sedang melakukan pemeriksaan terhadap motosikal yang berada di stesen minyak tersebut.
Superintendan Mohd Hafiz turut menjelaskan bahawa pemeriksaan kenderaan merupakan sebahagian daripada rutin harian yang dilaksanakan oleh petugas rondaan cegah jenayah di lapangan. Walau bagaimanapun, penyebaran rakaman ini telah menjejaskan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh.
Beliau turut menyeru agar pemilik motosikal berkenaan segera membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran untuk memudahkan siasatan. Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak mengeluarkan kenyataan atau menyebarkan video yang boleh mencemarkan nama baik PDRM tanpa sebarang bukti yang sah.
Beliau juga mengingatkan bahawa tindakan tegas boleh diambil terhadap individu yang terlibat dalam penyebaran maklumat palsu, di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.
Kredit: Harian Metro, X mynewshub