fbpx

Seorang anggota polis trafik mengalami kecederaan serius apabila dilanggar oleh kereta yang dipandu oleh seorang lelaki dalam keadaan mabuk di Kilometer 3.6 Jalan Pantai pada pagi Ahad.

Anggota Polis Tercampak Ketika Dilanggar Dan Patah Tulang Pinggul

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan iaitu Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan bahawa kejadian berlaku pada jam 7.05 pagi ketika anggota polis berusia 30-an dari Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan sedang mengawal aliran trafik selepas satu kemalangan terjadi di lokasi tersebut.

Menurut Raub, kejadian berlaku apabila sebuah kereta terbabas di lorong kanan menuju ke Permas Jaya. Ketika proses penundaan sedang berlangsung, sebuah kereta Proton Wira berwarna Perak dari arah belakang tiba-tiba mengubah haluan dari lorong kanan ke lorong kiri dan melanggar anggota polis trafik yang berdiri di sebelah trak tunda.

“Anggota polis tercampak ke cermin hadapan Proton Wira tersebut sebelum terjatuh di tengah jalan,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Beliau memaklumkan bahawa mangsa mengalami patah tulang pinggul sebelah kiri, luka di muka dan dagu, serta luka di tangan kanan. Sementara itu, pemandu kereta Proton Wira yang juga berusia 30-an mengalami luka pada tangan sebelah kiri.

“Hasil ujian pernafasan mendapati bahawa pemandu kereta positif mengandungi alkohol dalam darahnya, namun ujian saringan awal air kencing menunjukkan tiada dadah di dalam sistemnya,” tambahnya lagi.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 44(1A)(B) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan terpengaruh alkohol.

“Kami mengalu-alukan saksi-saksi awam yang menyaksikan kejadian ini untuk datang ke balai trafik IPD Johor Bahru Selatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Kelly Lee Ya Yek di talian 014-6977122 untuk memberikan keterangan,” ujarnya.

Kredit: Harian Metro

[fbcomments]