Selain kes penderaan, kes buli juga turut membimbangkan dalam kalangan pelajar di sekolah kerana ia melibatkan pergaduhan fizikal dan turut memberi kesan terhadap mental seseorang yang terpaksa menghadapi situasi ini.
Baru-baru ini tular di laman TikTok berkenaan tentang seorang individu meluahkan rasa sedih dan berang apabila melihat keadaan adiknya lemah longlai kerana dipercayai telah menjadi mangsa buli di sebuah sekolah di Jalan Hulu Takir, Kuala Terengganu.
Adik Kena Tumbuk Dan Pijak Sampai Pengsan
Berdasarkan video yang dimuat naik oleh @bosskal7 di laman TikTok, beliau memaklumkan adiknya yang bernama Nur Daniel Farish telah dipukul oleh tiga orang pelajar Tingkatan 2 ketika melarang sebuah pergaduhan yang berlaku ketika itu. Beliau turut mendedahkan adiknya ditumbuk sehingga mengalami sesak nafas selain dipijak sampai pengsan.
“Adik saya dipukul tiga pelajar Tingkatan 2, sedangkan dia hanya seorang. Bayangkan ditumbuk sehingga sesak nafas dan dipijak sehingga pengsan. Dipukul kerana melarang pergaduhan, namun ditarik kerana tidak puas hati dilarang (melarang)”, tulisnya di ruangan kapsyen.

Ramai Pelajar Tengok Adik Dipukul Tapi Hanya Mampu Berdiam Diri Sahaja
Difahamkan lagi, kejadian tersebut berlaku pada kira-kira jam 12 tengah hari, namun diberitahu pada pukul 2 petang selain memaklumkan ramai pelajar turut berada di lokasi kejadian namun hanya berdiam diri melihat adiknya dipukul si pelaku.
“Ramai yang terlibat tapi yang memukul tiga orang gangster besar sekolah itu. Ramai yang melihat tapi tidak mampu melawan kerana backup si pembuli. Dipukul lebih kurang pukul 12 lebih dan diberitahu pada jam 2 lebih”, katanya lagi.
Walaupun begitu, abang kepada mangsa mengatakan kes tersebut telah pun selesai dan hanya menunggu tindakan seterusnya untuk dibuat oleh pihak sekolah. Cuma, beliau hanya meluahkan rasa ketidakpuasan hati terhadap apa yang terjadi ke atas adiknya selain memberi peringatan kepada si pembuli supaya hidup mereka tidak akan aman sehingga ke akhir hayat.

Semoga Cepat Sembuh
Meninjau di ruangan komen, ramai netizen yang turut berkongsikan pengalaman anak atau adik beradik mereka yang menjadi mangsa buli di sekolah. Disamping mereka mendoakan agar mangsa cepat pulih, mereka juga menasihati agar tidak termakan dengan kata-kata daripada pengetua sekolah sekiranya diminta untuk tidak membuat laporan polis.



Kredit: TikTok bosskal7