Gurauan kasar bertukar tragedi apabila seorang pelajar perempuan istimewa mengalami komplikasi kecederaan tulang belakang akibat jatuh di sekolah selepas rakannya menarik kerusi ketika mangsa mahu duduk. Video yang dimuat naik oleh @azera5276 di laman TikTok itu telah meraih perhatian netizen selepas ianya tular sehingga mendapat lebih 1 juta tontonan.
@azera5276 Perkara yang ditakuti , kakak iqa jatuh disebabkan kawan tarik kerusi ketika di sekolah,now kena bedridden selagi tidak sembuh ..Allah …semua pihak perlu diingatkan tentang bahayanya gurauan begituu…sekarang kami yang alami ujian ini…doakan kakak iqa cepat sembuh….AAMIN #fypシ #shahalam #jatuhdisebabkankawantarikkerusi
Sudahlah Menghidap Penyakit Saraf, Tambah Pula Komplikasi Tulang Belakang Akibat Terjatuh
Berdasarkan sumber yang dilihat dari TikTok wanita berkenaan dan juga Mstar, mangsa iaitu Puteri Nur Atiqah, 11, sememangnya sudah menghidap penyakit saraf celebral palsy. Ibu kepada mangsa iaitu Azera Yazed, 35, menceritakan semula kisah malang yang menimpa anaknya sewaktu anaknya mahu duduk berehat selepas latihan nasyid di sekolah baru-baru ini.
“Iqa ni seorang anak istimewa yang duduk di kelas Program Pendidikan Khas Integrasi. Masa dia nak duduk tu ada kawan tarik kerusi sebagai gurauan. Anak saya jatuh terduduk. Iqa menangis sebab mungkin tulangnya terhentak. Cikgu kelas pun terus maklumkan pada saya, minta datang segera untuk ambil dia di sekolah. Saya bawa Iqa pergi ke Hospital Pakar Wanita dan Kanak-Kanak dekat Shah Alam, Selangor. Doktor beritahu memang ada kesan tak baik dekat bahagian tulang dia”, ceritanya pada Mstar.
Iqa kini Sukar Untuk Berjalan Dan Duduk Seperti Dulu
Menurut Azera lagi, doktor memaklumkan kepadanya bahawa Iqa mengalami komplikasi patah tulang coccygeal yang minimum, lebam pada tulang (bone bruise) dan benjolan cakera (disc bulge). Beliau turut memberitahu kesan daripada kecederaan tersebut telah mengakibatkan anaknya itu sukar berjalan dan duduk seperti dulu.
“Selama ni saya struggle ank besarkan Iqa yang ada celebral palsy. Saya ajar dia berdikari macam anak-anak yang lain tapi kali ini saya yang terduduk dan kecewa. Ini adalah antara perkara yang saya takut tapi sudah terjadi. Sampai sekarang Iqa masih menangis sebab sakit kalau banyak bergerak. Nak duduk dan berdiri lama pun tak boleh. Dia cuma okay lepas makan ubat tahan sakit je”, jelasnya lagi sambil memberitahu keluarga si pelaku datang bertemu dengannya selepas enam hari kejadian berlaku.
Diberi Cuti Sakit 2 Minggu
Kata Azera lagi, anaknya telah diberi cuti sakit selama dua minggu bagi mendapatkan rawatan susulan di hospital. Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen menasihati agar guru di sekolah harus memainkan peranan yang penting dalam mengatasi masalah seperti ini kerana ianya bukanlah sekadar gurauan, namun ia boleh mendatangkan kemudaratan terhadap seseorang pelajar.
Kredit: TikTok azera5276, Mstar