fbpx

Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan polis selepas disyaki membunuh rakannya yang didakwa mengganggu teman wanita suspek. Kejadian tersebut difahamkan berlaku di Jalan Pasir Kampung Sungai Payung Baroh, Rungkup dan suspek ditahan ketika serbuan di Hutan Melintang pada kelmarin.

Suspek Dan Mangsa Adalah Kawan Dan Jiran

Menurut sumber yang dilihat dari Harian Metro, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri memaklumkan mangsa dikenal pasti sebagai lelaki berusia 21 tahun dan mayat ditemui pada 20 Ogos lalu. Beliau berkata suspek dan mangsa adalah rakan yang tinggal di kawasan perumahan yang sama di Teluk Intan.

“Identiti mangsa sudah kita kenal pasti. Suspek dan mangsa adalah kawan dan jiran. Punca bunuh disebabkan suspek berasa cemburu pada si mati kerana mengganggu teman wanita suspek yang berusia 20 tahun”, katanya.

Ahmad Adnan juga menambah pihak polis berjaya menyelesaikan kes tersebut dalam tempoh 48 jam dan suspek ditahan pada 26 Ogos di Hutan Melintang.

Mangsa Maut Akibat Tetakan Di Kepala Dan Leher

Beliau turut melaporkan bahawa mayat tersebut dijumpai orang awam pada jam 4.48 petang dalam keadaan tertiarap di dalam parit berhampiran ladang kelapa sawit.

“Terdapat pelbagai kecederaan di tangan, kaki, dan leher serta badannya reput. Identiti tidak dapat dipastikan ketika itu. Hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun mendapati mangsa meninggal dunia akibat tetakan di kepala dan leher”, jelas Ahmad Adnan.

Suspek kini direman selama seminggu dari tarikh penangkapan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kredit: Harian Metro

[fbcomments]