Seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tidak menyangka bahawa tindakan kecil menunggu bapanya selesai solat Isyak telah menyelamatkan nyawanya daripada terlibat dalam kemalangan maut di Jalan Jeli-Gerik pada awal pagi Isnin.

Terselamat Kerana Terlepas Bas, Pelajar UPSI Luah Syukur Tidak Terlibat Dalam Tragedi

Nur Adilah Mohd Rusdi, 21, yang sepatutnya menaiki bas bersama lebih 40 rakan lain dari Jerteh, Terengganu untuk pulang ke kampus di Tanjung Malim, terlepas menaiki bas tersebut selepas lewat tiba di lokasi berkumpul.

Bas yang dijadualkan bertolak pada jam 9 malam itu telah berlepas lebih awal, hanya beberapa minit sebelum Adilah tiba di lokasi menaiki bas di hadapan Masjid Hadhari, Bandar Jerteh.

“Saya sengaja tunggu ayah balik dari masjid dulu untuk minta izin dan bersalaman. Bila sampai di tempat berkumpul, penumpang lain maklumkan bas dah bertolak lima minit sebelum itu,” katanya.

Tidak tergesa mengejar bas kerana perasaan tidak sedap hati, Adilah memilih untuk pulang semula ke rumah. Beberapa jam kemudian, dia bertolak ke kampus dengan menumpang bapa saudaranya yang dalam perjalanan ke Klang.

Menurut Adilah, dia mengetahui tentang kemalangan tersebut sekitar jam 4 pagi dan sangat terkejut, apatah lagi beberapa rakan sekelasnya turut berada dalam bas berkenaan.

“Saya diberitahu ada kawan saya yang cedera, tapi belum sempat hubungi dia sehingga sekarang. Saya sedih bila fikirkan nasib mereka,” ujarnya.

Adilah sepatutnya memulakan kuliah pertama semester baharunya pada pagi Isnin, namun terpaksa memaklumkan ketidakhadiran kepada pensyarah berikutan kelewatan perjalanan.

Terdahulu, kejadian menyayat hati itu meragut 15 nyawa apabila sebuah bas yang membawa pelajar UPSI bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di laluan Jeli-Gerik. Ketua Polis Perak memaklumkan, semua penumpang berusia antara 21 hingga 23 tahun dan dalam perjalanan pulang ke kampus selepas bercuti sempena Aidiladha.

Kredit: mStar

 

 

[fbcomments]