fbpx

Jaguh berbasikal trek negara iaitu Datuk Azizulhasni Awang telah mengumumkan persaraannya secara rasmi selepas tirai Sukan Olimpik Paris 2024 dilabuhkan pada malam tadi, menandakan tamatnya sebuah era kegemilangan dalam sukan berbasikal yang telah beliau cetuskan selama lebih dua dekad.

Video di bawah:

https://x.com/ASTROARENA/status/1822622334282506339

Azizulhasni Awang Umum Bersara

Dalam satu temubual bersama Astro Arena, Azizulhasni yang lebih dikenali sebagai The Pocket Rocketman meluahkan harapannya agar legasi kecemerlangannya dapat diteruskan oleh rakan sepasukan yang juga pelumba berbakat besar, Muhammad Shah Firdaus Sahrom. Sambil tidak dapat menyembunyikan rasa sebak, beliau menyatakan keyakinannya terhadap potensi Shah Firdaus untuk meneruskan pencapaian luar biasa dalam arena sukan berbasikal negara.

“Saya mengharapkan yang terbaik untuknya sebab saya tahu dia ada potensi,” ujar Azizulhasni dengan penuh emosi.

Beliau juga menzahirkan hasrat agar generasi pelumba baru, termasuk Shah Firdaus dan adiknya Ridwan Sahrom, dapat membawa bendera negara dengan penuh kebanggaan. Azizulhasni menyeru agar para peminat kini memberikan sepenuh sokongan kepada mereka dan tidak lagi hanya tertumpu kepada dirinya.

“Bagi saya, harap Shah akan meneruskan legasi saya. Shah, adiknya (Ridwan Sahrom) dan beberapa pelumba lain. Ia bukan lagi tentang saya. Saya harap peminat akan berhenti bercakap mengenai saya, ia bukan lagi tentang saya. Ia tentang kita menyokong dia (Shah Firdaus) dan generasi baru itu,” katanya lagi.

Azizulhasni turut menyatakan kesediaannya untuk terus memberikan sokongan dan bantuan kepada pasukan berbasikal trek negara pada bila-bila masa yang diperlukan, meskipun setelah bersara daripada perlumbaan kompetitif.

“Apa sahaja yang mereka perlukan bantuan saya, saya akan sentiasa berada di sana untuk mereka,” jelasnya.

Sebagai rekod, Datuk Azizulhasni Awang adalah pelumba berbasikal trek paling berjaya dalam sejarah Malaysia, selepas mencipta kejayaan gemilang dengan merangkul pingat emas dalam acara keirin pada Kejohanan Dunia 2017. Beliau juga mencipta sejarah sebagai atlet pertama Malaysia yang memenangi pingat dalam sukan berbasikal di Sukan Olimpik, apabila merangkul pingat gangsa di Rio 2016 dan kemudiannya pingat perak di Tokyo 2020.

Kini, dengan pengumuman persaraannya, Azizulhasni meninggalkan legasi yang tidak ternilai dalam dunia sukan negara, dan membuka ruang untuk pelumba-pelumba muda meneruskan kejayaan di pentas antarabangsa.

Kredit: X Astro Arena

[fbcomments]