fbpx

Pelakon dan pelawak senior iaitu Azlee Senario baru-baru ini telah meminta untuk keluar hospital sedikit awal selepas dinasihatkan untuk berehat selama sebulan bagi proses penyembuhan jantungnya.

Bil Hospital Cecah RM40,000

Memetik laporan Berita Harian, Azlee atau nama sebenarnya Azlee Jaafar memaklumkan bahawa keadaan kesihatannya semakin stabil selepas melakukan prosedur peletakan sten di Institut Jantung Negara (IJN) pada 6 Jun lalu.

“Alhamdulillah, saya dalam keadaan stabil sekarang. Keadaan saya bertambah baik selepas melakukan prosedur sten. Saya sudah keluar hospital dan berehat di rumah.

“Kalau nak diikutkan doktor memang tak benarkan saya pulang untuk biarkan jantung saya benar-benar pulih, tapi saya mohon keluar.

“Saya bukan tak nak duduk di hospital, tapi empat hari pun bil sudah mencecah RM40,000.

“Saya pula tiada insuran sebab dulu saya ada penyakit hempedu dan hati. Keluarga berkongsi duit, selain bantuan Yayasan Selangor”, katanya.

Kalau Lambat 5 Minit Mungkin Sudah Tiada Di Dunia

Tambah Azlee lagi, beliau mendedahkan bahawa keadaannya sangat kritikal kerana jantungnya tersumbat sebanyak 99 peratus dan salah satu urat pada injap jantungnya telah putus.

“Saya terus menjalani pembedahan pada hari sama sebab doktor kata kalau lambat lima minit mungkin saya sudah tiada.

“Pembedahan dilakukan selama tiga jam, bila sedar sahaja saya sudah berada di CCU”, ceritanya.

Dia juga perlu menjaga cara pemakanan dan dinasihatkan untuk elak dari mengambil makanan berkolestrol tinggi.

“Yang utamanya saya kena elak makanan berkolesterol. Keduanya, perkara ini juga boleh disebabkan akibat tekanan kerja dan sebagainya, jadi mungkin jantung pam laju.

“Doktor ada nasihatkan saya apa yang boleh makan dan tidak boleh. Terima kasih kepada pihak media yang mengambil berat.

“Apa yang dapat kongsi, jangan makan makanan berkolesterol kerana ia boleh menutup injap jantung”, luahnya di akhir kata.

Terdahulu, Azlee dilaporkan rebah di rumahnya sebelum dia dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB).

HSB kemudiannya membawa Azlee ke IJN untuk menerima rawatan lanjut, sebelum menjalani pembedahan dan prosedur meletakkan sten pada hari sama.

Kredit: Berita Harian

[fbcomments]