Baru-baru ini seorang kanak-kanak lelaki berumur 12 tahun telah dilaporkan terkena renjatan elektrik ketika mahu mengambil bola yang termasuk ke dalam bilik janakuasa elektrik. Semalam, Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan pihak mereka akan menyalurkan segala bantuan termasuk menanggung kos rawatan dan perubatan yang diperlukan mangsa selepas kejadian yang berlaku di TNB Taman Seri Bayu, Bayan Lepas, Pulau Pinang.
TNB Tanggung Kos Rawatan
Berdasarkan sumber yang dilihat dari Harian Metro, difahamkan TNB memaklumkan bahawa bantuan tersebut diberikan kepada mangsa iaitu Mohd Dawisy Zarif Mohd Khairi, 12, bagi mendapatkan rawatan yang terbaik.
“Kami akan menyalurkan segala bantuan termasuk bagi menanggung kos rawatan dan perubatan yang diperlukan agar mangsa mendapat rawatan yang terbaik. Wakil Pengurusan TNB sudah pun menyantuni ibu bapa mangsa di Hospital Besar Pulau Pinang pada Jumaat. Dalam lawatan itu, Head of Zone Asset, TNB Pulau Pinang, Ir. Anan Eyam turut menyampaikan bantuan pendahuluan segera kepada keluarga mangsa bagi meringankan beban mereka. Mangsa yang melecur anggota badan sedang dirawat di bilik isolasi, Unit Rawatan Rapi (ICU),di hospital berkenaan,” jelas pihak TNB.
TNB Bekerjasama Dengan PDRM
Menurut sumber lagi, TNB juga akan bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Tenaga bagi membantu siasatan dan TNB sendiri telah menubuhkan pasukan siasatan dalaman selaras operasi syarikat yang memberi keutamaan kepada keselamatan.
Terdahulu, media melaporkan kejadian malang yang menimpa Dawisy apabila dia dikatakan bermain futsal bersama rakan-rakannya sebelum bola terpelanting masuk ke dalam bilik janakuasa TNB. Namun, mangsa terjatuh dan terkena renjatan elektrik dan badannya melecur dengan teruk.
Kredit: Harian Metro