Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperkenalkan satu langkah baharu dengan melantik warden sepenuh masa dalam kalangan bekas pegawai tentera dan polis bagi mengukuhkan disiplin serta menangani isu buli pelajar di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

MARA Perkenal Warden Sepenuh Masa Bekas Tentera dan Polis di MRSM Bagi Tangani Isu Buli

Menurut Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, langkah ini adalah sebahagian daripada projek rintis yang akan dijalankan di beberapa MRSM terpilih terlebih dahulu. Tujuannya adalah untuk melihat sejauh mana keberkesanan pendekatan ini dalam membantu membentuk sahsiah dan tingkah laku pelajar.

“Buat permulaan ini, projek rintis (pilot) akan dimulakan dengan melibatkan beberapa MRSM bagi melihat dan mengkaji keberkesanan inisiatif ini.

“Kerjasama juga akan dilakukan dengan Persatuan Veteran Tentera dan Bekas Polis bagi mengenal pasti kriteria pemilihan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menjelaskan bahawa langkah ini selari dengan usaha MARA untuk memastikan pelajar MRSM bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran, tetapi juga berdisiplin, berakhlak dan seimbang dari semua aspek.

“Kita mahu pastikan MRSM bebas daripada gejala buli. Ini penting untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang selamat dan positif,” tambahnya.

Langkah ini juga dilihat sebagai salah satu usaha MARA untuk memperkukuhkan nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar dan memastikan mereka membesar sebagai generasi yang berintegriti dan bertanggungjawab.

Kredit: Majoriti Official

[fbcomments]