Tindakan meletakkan longgokan buah-buahan di sepanjang laluan Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) mendapat perhatian apabila ia dikhuatiri mengundang risiko kehadiran haiwan liar, sekali gus mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
![]()
Baik Tak Bertempat, Tindakan NGO Letak Buah Untuk Gajah Liar Di JRTB Dikritik
Menurut Sukarelawan Sungai Petani Response Team, Mohd Amir Faizal, pihaknya mengesan beberapa longgokan buah seperti mangga dan pisang di lokasi strategik sekitar JRTB sejak 11 Mei lalu. Buah-buahan itu dipercayai diletakkan oleh kumpulan tertentu termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yang berniat menarik perhatian gajah liar di kawasan tersebut.
Katanya, tindakan tersebut bukan sahaja boleh mengubah tabiat semula jadi hidupan liar, malah meningkatkan risiko serangan terhadap pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan.
“Saya juga sendiri pernah dihubungi seseorang mewakili sebuah pertubuhan yang meminta untuk meletakkan buah-buahan di JRTB. Saya beri amaran, namun dengan bukti bergambar yang diterima ini, nampak seperti mungkin (amaran) tidak diendahkan,” ujarnya.
Tambah beliau, longgokan tersebut dikenal pasti di tiga kawasan utama iaitu sekitar Titi Gajah, Tugu Peringatan Pembinaan JRTB dan berhampiran jajahan Jeli, Kelantan. Kesemua lokasi ini merupakan kawasan yang sering menjadi laluan dan habitat haiwan liar seperti gajah, harimau belang, beruang dan tapir.
![]()
Mohd Amir menegaskan, tindakan meletakkan makanan secara sengaja boleh menyebabkan haiwan liar bergantung kepada manusia untuk mendapatkan sumber makanan, berbanding mencari sendiri seperti sifat asal mereka di dalam hutan.
“Fitrah haiwan liar itu perlu mencari makan sendirian. Tak perlu kita ‘baik tak bertempat’ untuk letak makanan di situ. Perbuatan ini sebenarnya tidak bertanggungjawab dan akan menyusahkan pengguna yang sering gunakan JRTB untuk menyelesaikan urusan masing-masing,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff memaklumkan bahawa tiada peruntukan undang-undang khusus yang membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil terhadap individu yang meletakkan makanan di laluan tersebut.
Namun, sebagai langkah pencegahan, pihak Perhilitan akan mempertingkatkan usaha kesedaran dengan menambah papan tanda larangan memberi makanan kepada haiwan liar, khususnya di laluan JRTB.
Kredit: Astro Awani