Seorang wanita bernama Nor Syafiqah, yang baru bercerai lapan bulan lalu dan mempunyai seorang anak perempuan berusia lima tahun, berdepan kekecewaan besar apabila bakal suaminya gagal hadir pada majlis pernikahan mereka yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat lalu di Kubang Pasu.
![]()
Bakal Suami Tidak Hadir, Wanita Alami Kerugian Hampir RM12,000 Pada Hari Pernikahan
Menurut wanita berusia 30-an itu, dia mengenali lelaki tersebut sejak lapan bulan lalu dan sepanjang tempoh itu, tiada sebarang masalah timbul dalam hubungan mereka. Bakal suaminya bagaimanapun pernah memaklumkan bahawa bapanya tidak merestui hubungan mereka, namun pasangan itu tetap bertekad untuk meneruskan perkahwinan.
Nor Syafiqah berkata, sehari sebelum majlis, bakal suaminya datang ke rumah dan memberitahu bahawa dia ingin meneruskan akad nikah. Namun, pada pagi Jumaat, mesej WhatsApp yang dihantar Nor Syafiqah tidak dibalas, dan pengantin lelaki gagal muncul meskipun Imam Qariah Lubuk Batu telah hadir untuk melangsungkan akad nikah. Lebih 1,000 tetamu termasuk keluarga dan kenalan hadir, namun mereka kecewa kerana majlis tidak berjalan seperti dirancang.
![]()
“Bayangkan saya sudah menyiapkan khemah kenduri, pelamin, pakaian pengantin, katering dan cenderahati untuk tetamu, tetapi pengantin lelaki tidak muncul sehingga petang. Saya dimaklumkan dia tidak hadir kerana bimbang bapanya marah, namun saya tidak tahu punca sebenar,” kata Nor Syafiqah. Kerana malu dan kecewa, wanita itu memilih untuk berkurung di dalam bilik sepanjang majlis sebelum menukar pakaian pada sebelah petang.
Nor Syafiqah turut menjelaskan bahawa selama ini bakal suaminya melayan dan menyayanginya dengan baik. Malah, kad jemputan perkahwinan yang sepatutnya berlangsung pada 13 Disember sudah diedar, namun semua persiapan terpaksa dibatalkan. Keseluruhan kerugian akibat persiapan itu dianggarkan hampir RM12,000, menggunakan simpanan sendiri. Wanita itu yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik, tiada ibu bapa dan hanya mengharapkan kasih sayang kakak dan abangnya, berkata dia amat terkesan dengan kejadian itu.
![]()
Sebagai langkah tindakan, Nor Syafiqah telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu pada pagi berikutnya dan juga berjumpa peguam bagi mendapatkan nasihat serta tindakan lanjut terhadap bakal suaminya.
Kredit: Harian Metro