Baru-baru ini tular di media sosial yang memaparkan tiga individu lelaki bertindak kejam apabila mereka dilihat membakar seekor anak kucing secara hidup-hidup dalam kejadian di Flat Sungai Kenari, Sungai Ramal Baru, Kajang.
Bakar Anak Kucing Hidup-Hidup
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang iaitu Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, beliau memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima satu laporan daripada seorang wanita berusia 63 tahun berhubung kejadian pada jam 10.51 pagi. Katanya, anak kucing yang dianggarkan umurnya sekitar enam minggu dilaporkan dibakar hidup-hidup di tempat parkir motosikal flat berkenaan.
“Pengadu mendapat tahu kejadian ini daripada seorang saksi yang juga penduduk di flat berkenaan yang ternampak seekor anak kucing sedang terbakar dan segera mencurah air dan memadamkannya.
“Saksi kemudian maklumkan kejadian itu kepada pengadu dan pengadu cuba mencari anak kucing terbabit di sekitar flat dan menjumpainya dalam keadaan lemah sebelum segera menghantarnya ke sebuah klinik veterinar swasta di Ampang,” katanya.
Mohd Zaid turut berkata hasil siasatan awal menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati ianya berlaku sekitar jam 1 tengah hari kelmarin.
“Rakaman CCTV menunjukkan tiga lelaki tempatan sedang melepak di tapak parkir motosikal dan dua daripada suspek kemudian menyimbah dipercayai bahan bakar pada seekor anak kucing.
“Salah seorang daripadanya kemudian menyalakan api dan ketiga-tiga mereka hanya menyaksikan anak kucing itu berlari dalam keadaan badan terbakar,” jelasnya.
Polis Buru Kesemua Suspek Terlibat
Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dikatakan berjaya mengenal pasti kesemua suspek dan kini pihak mereka sedang giat mengesan mereka untuk membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.
“Anak kucing seberat 300 gram itu dilaporkan berada dalam keadaan kritikal akibat cedera melecur tahap dua dan ditempatkan di klinik veterinar swasta untuk pemerhatian sekurang-kurangnya seminggu.
“Mereka boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Suresh Krishnan di talian 017-4333795 untuk membantu siasatan,” ujarnya.
Kredit: X redzuanNewsMPB