Seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam satu perarakan bermotosikal yang turut melakukan aktiviti membakar mercun di persimpangan lampu isyarat di Pekan Banting, Selangor pada Rabu lepas.
Bakar Mercun Atas Jalan
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Langat iaitu Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh, beliau memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima laporan mengenai satu perarakan pengebumian dan membakar mercun di lokasi kejadian pada jam 2.28 petang.
Katanya, hasil daripada maklumat yang diperoleh itu membawa kepada penahanan lelaki tempatan terbabit di sekitar banting, kira-kira jam 3.30 petang pada hari sama.
“Suspek dipercayai menyertai perarakan bersama beberapa individu bermotosikal lain yang menahan kenderaan awam dan membakar mercun. Saringan air kencing suspek didapati positif amphetamine serta methamphetamine,” jelasnya semalam.
Suspek Mempunyai 7 Rekod Jenayah Lampau
Tambah Ahmad Ridhwan lagi, hasil siasatan mendapati lelaki berusia 28 tahun itu turut positif dadah dah mempunyai tujuh rekod jenayah lampau.
“Selain itu, tiga saman berkaitan lalu lintas dikeluarkan mengikut Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Polis juga sedang giat mengesan dua lagi suspek bagi membantu siasatan dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan kes itu.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-31872222 atau balai polis berdekatan,” katanya.
Ahmad Ridhwan berkata, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kredit: Berita Harian