Pendedahan seorang lelaki mengenai status kewangannya mencetuskan perdebatan hangat di media sosial apabila dia didakwa masih kekal dalam kategori B40 walaupun memiliki aset bernilai tinggi.
Isu itu timbul ketika orang ramai sedang membincangkan kemas kini syarat agihan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), sekali gus mengundang persoalan mengenai kelayakan sebenar penerima bantuan.
![]()
Netizen Adu Ke LHDN, Penerima STR Miliki 6 Rumah Sewa
Lelaki berkenaan tampil menjelaskan keputusannya untuk tidak mengisytiharkan diri sebagai golongan T20 kerana mahu memastikan anak-anaknya terus layak menerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Dalam perkongsiannya, dia mengakui memiliki tujuh buah rumah yang dibeli antara tahun 2007 hingga 2025 dengan nilai sekitar RM35,000 hingga RM350,000 setiap satu, yang dijadikan sebagai aset sewaan. Selain itu, beliau turut mendaftarkan skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk anak-anaknya serta menanggung komitmen kewangan besar melibatkan bayaran bulanan kereta, kad kredit dan enam buah kediaman.
![]()
Pendedahan itu mencetuskan reaksi negatif apabila didakwa individu sama turut menerima bantuan daripada pusat zakat walaupun tahap ekonominya dianggap selesa. Keadaan tersebut mendorong sebahagian netizen menyelidik latar belakang lelaki berkenaan, termasuk meneliti perkongsiannya di forum pelaburan CariGold, di mana dia pernah menyenaraikan komitmen kewangan bulanannya dan memberi tip pengurusan kewangan kepada pengguna lain.
![]()
Susulan itu, beberapa pihak dilaporkan telah mengemukakan aduan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), khususnya berkaitan dakwaan kegagalan membayar cukai pendapatan. Semakan melalui sistem MyKasih menggunakan nombor kad pengenalan individu tersebut turut mendapati bantuan yang diterima sebelum ini telah ditarik balik, sekali gus menguatkan perbincangan awam mengenai ketelusan, keadilan dan pemantauan kelayakan penerima bantuan kerajaan.
Kredit: Threads