Azwan Omar atau lebih dikenali sebagai Abang Viva, sekali lagi tampil menyatakan kesediaannya membantu mangsa banjir di Pantai Timur. Keputusan itu dibuat selepas beliau meluahkan kebimbangan terhadap keadaan banjir di kawasan tersebut, yang dilaporkan semakin buruk dan berisiko menyamai tragedi besar pada tahun 2014.
Abang Viva Sedia Bantu Mangsa Banjir, Namun Perlukan Sokongan Modal
Menerusi hantaran di Facebook, Abang Viva berkongsi bahawa beliau sedang dalam perancangan untuk turun padang bagi menyertai misi bantuan banjir. Namun, beliau turut mengakui memerlukan dana dan sokongan daripada sukarelawan untuk merealisasikan usaha ini.
“Pantai timur semakin memburuk.. adakah jadi macam 2014? insha’Allah saya akan turun ke sana jika kos untuk saya mencukupi,” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Beliau juga membuka ruang kepada mana-mana individu yang ingin menyumbang atau menyertai misi berkenaan. Sokongan tersebut amat diperlukan bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan lebih cepat dan berkesan kepada mereka yang terjejas.
“Jika ada sesiapa yang nak turut serta membantu bagi mencukupkan keperluan boleh DM saya.. Tiada paksaan untuk mana-mana pihak. Jujurnya saya sedang mengumpulkan orang dan modal untuk ke sana..” tambahnya.
Abang Viva yang terkenal dengan usaha sukarelawannya sejak beberapa tahun lalu, terus mendapat sokongan padu daripada warganet. Ramai mendoakan agar usahanya dipermudahkan, di samping menyeru orang ramai untuk menyumbang kepada Pertubuhan Kebajikan Abang V-Va, badan yang dikendalikannya untuk misi bantuan seperti ini.
Sementara itu, hujan lebat yang berterusan sejak beberapa hari lalu telah menyebabkan banjir di Pantai Timur semakin memburuk. Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) turut mengeluarkan amaran agar penduduk di kawasan berisiko tinggi sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan cuaca semasa bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Kredit: FB Azwan Omar Abangviva