Ketika banjir melanda Kampung Chapu, tindakan seorang anak mencuri perhatian ramai apabila mencipta penyelesaian kreatif untuk memastikan keselesaan bapanya yang terlantar sakit.
Anak Ikat Tong Dram Bawah Katil Agar Mudah Terapung
Zulkifli Che Noh, 37, mengambil inisiatif mengikat tiga tong dram di bawah katil boleh laras milik bapanya, Che Noh Che Hassan, 79. Langkah ini bukan sahaja membuatkan katil tersebut terapung ketika air mula memasuki rumah mereka, tetapi juga memudahkan bapanya menunaikan solat tanpa perlu diangkat ke tempat lain.
“Ayah sakit saraf sudah 20 tahun tetapi dia terlantar sejak 10 tahun lalu. Sebelum ini, dia masih boleh duduk di atas kerusi selama beberapa minit, tetapi tahun ini, ayah tidak lagi dapat duduk di kerusi dan hanya terlantar di atas katil.
“Sebelum ini, apabila rumah dinaiki air, ayah akan duduk di atas kerusi yang ada pemegang dan saya bersama penduduk kampung akan angkat ayah bersama kerusi itu untuk naik ke atas loteng rumah,” cerita Zulkifli.
Idea menggunakan tong dram itu tercetus selepas dia berbincang dengan penduduk kampung. Setelah beberapa percubaan menyusun tong-tong dram di bawah katil, usaha itu akhirnya berjaya apabila katil tersebut mampu terapung walaupun air mencecah paras paha.
“Tahun ini, saya memikirkan cara supaya tidak perlu lagi mengangkat ayah naik ke atas loteng,” tambahnya.
Namun, Zulkifli tidak menolak kemungkinan untuk berpindah sekiranya keadaan banjir bertambah buruk atau mereka diarahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
“Selama ini pun ayah biasanya hanya tinggal di loteng rumah kalau banjir kerana dia tidak selesa untuk tinggal di PPS berikutan keadaan kesihatannya itu.
“Jadi, saya bersama ibu (Zainab@Halimah Ismail, 77) dan adik-beradik bergilir menjaga ayah di rumah sepanjang banjir ini sementara ahli keluarga lain berada di PPS.
“Kalau keadaan makin teruk, kami tetap akan cuba bawa ayah ke PPS. Tapi setakat ini, kami lebih selesa berada di rumah,” ujarnya lagi.
Difahamkan, rumah Zulkifli yang terletak berhampiran sungai sering dilanda banjir setiap kali musim tengkujuh. Walaupun sudah biasa, banjir tetap menjadi cabaran besar yang memerlukan mereka sekeluarga bersiap sedia setiap tahun.
Kredit: BERNAMA