Bapa kepada Allahyarham Along Spoon iaitu Shafiee Mohd. Yusof memaklumkan bahawa dia telah memaafkan pembunuh yang membunuh anaknya pada tahun 1999 lalu, ketika ditemui media baru-baru ini.
Sudah Lama Maafkan Si Pembunuh
Dia yang lebih mesra digelar sebagai Pak Engku menceritakan pada mulanya dia memang tidak dapat menerima cara kematian anaknya yang dikatakan dibunuh dengan kejam.
Walaubagaimanapun, lama-kelamaan Pak Engku reda dengan ketentuan Tuhan dan memaafkan pembunuh anaknya selepas dapat menerima kenyataan.
“Saya sudah maafkan dia dari dulu lagi apa yang terjadi. Ini semua adalah ketentuan Allah. Pada awalnya saya rasa tidak boleh terima tetapi itu kesilapan saya.
“Selepas sekian lama saya cakap ‘Ya Allah, kaulah berkuasa dan aku terima segalanya’,”katanya.
Tiada Keinginan Untuk Berjumpa Atau Bersua Dengan Si Pembunuh
Cerita dengan lebih lanjut, Pak Engku yang ditemui di Majlis Penyerahan Sumbangan Jalinan Kasih Prihatin KPJ Healthcare & mStar Baek yang diadakan di Menara KPJ pada petang Selasa itu juga memaklumkan meskipun dia sudah lama memaafkan si pembunuh anaknya, namun dia tiada keinginan untuk bertemu dengan si pelaku.
Pak Engku turut memberitahu dia menyerah segala ketentuan kepada Allah SWT, selain menyatakan pelaku berkenaan tidak pernah datang untuk meminta maaf kepada mereka sekeluarga.
“Saya tiada keinginan untuk berjumpa. Hati ini sudah terluka, itu dia punya hal. Tetapi kalau dia datang nak minta maaf, saya terima. Tiada masalah pada saya. Kalau saya sendiri nak jumpa dia, mungkin tidak payahlah.
“Setakat ini dia tiada datang minta maaf. Perasaan saya apabila pesalah sudah lepas tidak mengapa dia lepas di dunia tetapi esok di akhirat menjawablah.
“Lagi pula, ajal maut ketentuan Allah. Kalau ikutkan saya sihat walafiat dan gagah perkasa, saya tunggu dia depan penjara,” ujarnya.
Sekadar info, Pada 25 Disember 1999, penyanyi terkenal Sabi’ul Malik Shafie, atau lebih dikenali sebagai Along Spoon yang popular dengan lagu ‘Rindu Serindu Rindunya’ telah dilaporkan hilang.
Beberapa hari kemudian, pada 6 Januari 2000, polis menemui rangka manusia yang diikat dalam guni di lereng bukit di Jalan Kuala Klawang, yang dipercayai adalah milik Along.
Bekas anggota polis, Mohd. Ya’cob Demyati, yang didapati bersalah membunuh penyanyi tersebut telah dibebaskan dari Penjara Kajang pada 16 November 2023, setelah menjalani hukuman penjara selama 33 tahun.
Mohd. Ya’cob, yang ketika itu bertugas sebagai anggota cawangan pengawal pengiring di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, didakwa membunuh Sabi’ul Malik, 19, di tepi jalan Kilometer 28, Jalan Kuala Klawang-Genting Peras, Jelebu, pada pukul 1 pagi, 26 Disember 1999.
Walaupun disabitkan dengan kesalahan, Mohd. Ya’cob terlepas daripada hukuman sebatan kerana usianya yang melebihi 50 tahun. Dia dibebaskan pada 16 November tahun lalu setelah selesai menjalani hukuman penjara selama 33 tahun.
Kredit: Kosmo!