Baru-baru ini tular sebuah kejadian di mana seorang remaja lelaki dilihat terbaring di kaki lima rumahnya dan kejiranan di kediaman berkenaan mendakwa ibu bapa kepada remaja tersebut telah mengabaikan anak mereka selama berhari-hari.
Hari ini, Roslan Abbas, 56, iaitu bapa kepada remaja lelaki terbabit telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tuduhan pengabaian anaknya dalam kejadian di Pasir Gudang antara jam 10 malam, 7 Julai hingga 8 pagi, 9 Julai lalu.
Bapa Hadapi Pertuduhan Mengabaikan Anak Dengan Biarkan Tidur Di Kaki Lima Rumah
“Saya ada bekalkan kunci, tetapi dia tidak mahu masuk. Tak mengapalah, saya faham, saya mengaku salah sahajalah,” ujar Roslan yang dituduh mengabaikan anaknya dengan membiarkannya tidur di luar rumah flat selama dua hari.
Walaupun begitu, Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim menolak pengakuan bersalah Roslan selepas berpendapat ia dibuat dengan bersyarat.
Roslan didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana bertanggungjawab terhadap remaja berusia 14 tahun itu. Hukuman bagi kesalahan tersebut termasuk denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
Semasa diberi peluang memberi penjelasan selepas fakta kes dibacakan, Roslan menyatakan anak lelakinya suka melakukan perbuatan tersebut dan sering tidak mahu mendengar nasihat.
“Dia suka begini, tidak suka ditegur, saya sudah cakap tapi dia tidak nak dengar. Saya tidur lewat setiap malam, tetapi selalu pantau keluar, dia tidak ada di depan rumah,” katanya.
Hakim kemudian menolak pengakuan bersalah Roslan dan memberikan peluang kepada beliau untuk dibicarakan.
“Pengakuan bersalah mesti dibuat tanpa sebarang syarat dan perlu mengakui fakta kes. Dengan cara ini, kes akan dibicarakan dan mahkamah memberi peluang untuk membuktikan ketiadaan kesalahan,” jelasnya.
Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Natasha Syed Ahmad kemudian menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dan tiga syarat tambahan.
Roslan yang tidak mendapat perwakilan peguam merayu untuk mengurangkan jumlah jaminan disebabkan masalah kewangan.
“Pendapatan saya tidak menentu, kadang-kala hanya RM1,000, kadang-kala kurang. Tanggungan cuma berempat termasuk dia (anak kedua daripada dua beradik),” katanya.
Hakim bersetuju untuk melepas Roslan dengan jaminan RM3,000 dan syarat tambahan tidak boleh mengganggu saksi.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 29 Julai untuk pelantikan peguam dan penyerahan dokumen.
Kredit: Harian Metro