Bapa kepada suspek dalam kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah, yang juga bekerja sebagai petani menegaskan bahawa dia tidak pernah mendidik anaknya untuk melakukan perbuatan tidak bermoral. Menurutnya, jika anaknya terbukti bersalah, dia harus bertanggungjawab sepenuhnya atas tindakannya.

Dia Harus Bertanggungjawab Jika Didapati Bersalah

Memetik laporan Berita Harian, beliau menyatakan bahawa sebagai seorang ayah, dia tentu menyayangi anaknya. Namun, jika anaknya benar-benar bersalah, dia harus menanggung akibatnya sendiri. Dia juga menegaskan bahawa dia tidak pernah mendidik anaknya untuk melakukan perkara yang tidak baik.

“Saya harus kuat dan terus menjalani kehidupan seperti biasa. Takdir telah menentukan segalanya, dan saya tidak dapat mengubah apa yang telah terjadi,” ujar bapanya yang meluahkan bahawa dia perlu menerima kenyataan dengan hati terbuka.

Beliau turut memberitahu bahawa menantu dan cucunya yang berusia lapan bulan berada dalam keadaan baik.

“Polis membawa anak saya ke rumahnya di Bukit Katil malam tadi dan dia sempat membuat panggilan video kepada saya. Selain itu, polis juga memeriksa dan mengambil telefon bimbit isterinya untuk siasatan lanjut,” jelasnya.

Keluarga mereka juga telah melantik peguam untuk mewakili anaknya dalam siasatan dan perbicaraan kes ini.

Sebelum ini, laporan polis mengenai kehilangan Nur Farah, bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dari Miri, Sarawak, diterima pada 1.56 pagi, 10 Julai lalu. Kali terakhir dia dilihat mengenakan pakaian korporat berwarna biru, bertudung, dan seluar hitam, dan dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa.

Polis kemudian menahan seorang penjawat awam untuk membantu siasatan pada pagi Selasa. Suspek, yang berpangkat lans koperal dan bertugas di Balai Polis Slim River, Tanjung Malim telah berkhidmat selama lima tahun kini direman selama tujuh hari hingga 22 Julai untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kredit: Berita Harian

[fbcomments]