fbpx

Seorang lelaki warga emas berusia 67 tahun, yang juga merupakan seorang bapa baru-baru ini mendedahkan kisah duka selepas anaknya ketagih berjudi dan kerap meminjam duit dari pemberi pinjaman wang tanpa lesen (ah long) hingga dikehendaki dan diperas ugut.

Terpaksa Kerja E-Hailing Untuk Lunaskan Hutang Anak

Memetik sumber The Star, Wong Yock Sang memaklumkan bahawa anak lelakinya yang berusia 35 tahun itu adalah seorang kaki judi dan memiliki banyak hutang bagi menampung gaya hidup mewahnya, sehingga sanggup melakukan pinjaman Ah Long.

“Saya kehabisan wang simpanan untuk melangsaikan hutang RM240,000 pada 2019 kerana dia berjanji untuk berubah.

“Malah saya terpaksa mencari kerja sebagai pemandu e-hailing kerana wang simpanan sudah tiada,” katanya pada sidang media anjuran Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Datuk Seri Michael Chong di Wisma MCA semalam.

Tambah Wong lagi, anaknya dihantar ke pusat pemulihan sebaik sahaja kesemua hutangnya dapat dilangsaikan.

“Namun, pada 2 Jun lalu saya dapati ada individu menyebarkan gambar anak saya dan isteri di Facebook dengan kapsyen ‘dikehendaki’.

“Saya juga menerima panggilan daripada anak yang lain memberitahu ada ah long menghubunginya dan meminta hutang daripada abangnya sebanyak RM12,000.

“Ah long itu mengugut akan menghantar geng samseng untuk buru kami jika hutang gagal diselesaikan,” katanya.

Wong juga difahamkan turut menerima kiriman mesej Whatsapp mengatakan anak lelakinya itu berhutang sebanyak RM1,200.

“Sejujurnya, saya tidak tahu berapa banyak ah long yang dia berhutang. Sukar untuk memutuskan hubungan saya dengan anak saya. Ia menyakitkan hati tetapi saya terpaksa melakukannya,” katanya, sambil menambah bahawa dia telah membuat laporan polis berhubung ugutan tersebut.

Kredit: The Star

[fbcomments]