Suasana duka menyelubungi dunia bola sepak antarabangsa selepas penyerang Liverpool, Diogo Jota, disahkan terkorban dalam satu kemalangan ngeri di Sepanyol awal pagi Khamis.
![]()
Diogo Jota dan Adiknya Terbunuh Dalam Nahas Jalan Raya di Sepanyol
Kejadian memilukan itu turut meragut nyawa adiknya, André Jota, yang merupakan pemain kelab Penafiel di Portugal. Nahas dipercayai berlaku ketika kedua-duanya dalam perjalanan melalui lebuh raya di utara Sepanyol, kira-kira 62 kilometer dari bandar Zamora.
Menurut maklumat awal daripada pihak berkuasa Sepanyol, kenderaan yang dinaiki mereka dikatakan terbabas sebelum terbakar dengan pantas. Api marak dalam sekelip mata menyebabkan mangsa gagal menyelamatkan diri dan maut di tempat kejadian.
![]()
Saksi kejadian segera menghubungi talian kecemasan 112, namun pasukan penyelamat yang tiba di lokasi hanya mampu mengawal kebakaran yang turut merebak ke kawasan berhampiran.
Lebih menyayat hati, pemergian Jota berlaku hanya beberapa minggu selepas beliau mengikat tali perkahwinan.
![]()
André, 26, yang juga mangsa dalam insiden tersebut, merupakan pemain profesional di liga Portugal dan sedang membina kerjaya bersama kelab Penafiel.
Sehingga kini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Liverpool FC, namun ucapan takziah mula membanjiri platform media sosial, termasuk dari kalangan rakan sepasukan dan bekas pemain.
Kredit: Sinar Harian