Sekumpulan pelajar sekolah menengah yang didakwa terlibat dalam kes membuli seorang remaja lelaki di kawasan taman permainan terletak di Puteri Wangsa, Ulu Tiram, Johor telah ditahan polis untuk siasatan lanjut. Menerusi video yang dimuat naik di laman TikTok @BuletinTV3, ia memaparkan seorang remaja lelaki dipukul, ditendang dan dipijak bertubi-tubi oleh sekumpulan pelajar lain dan mangsa langsung tidak berdaya untuk melawan.
Kesemua Pembuli Telah Ditahan Polis
Berdasarkan sumber yang dipetik dari Buletin TV3, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat telah mengesahkan tangkapan ke atas kesemua pembuli yang merupakan pelajar sekolah menengah yang berumur dalam lingkungan 14 hingga 17 tahun semalam selepas laporan dibuat.
Kejadian yang berlaku pada 9 Ogos tersebut telah menyebabkan mangsa buli mengalami kecederaan lebam di bahagian lengan kiri dan kanan, bengkak di bahagian peha sebelah kanan, dan mengalami kesakitan di keseluruhan tubuh badan. Hasil siasatan polis, ia didapati bahawa suspek utama tidak berpuas hati dengan mangsa kerana dia dipercayai berkawan dengan teman wanitanya.

Mangsa Baru Baik Dari Kanser
Berdasarkan maklumat awal yang diperoleh dari netizen, mereka mendedahkan bahawa mangsa sudah lama dibuli dan baru sahaja pulih daripada sakit kanser.
Perbuatan kejam sekumpulan pelajar itu telah menaikkan rasa marah netizen dan mahu tindakan tegas diambil terhadap kesemua suspek supaya dapat memberi pengajaran yang setimpal.
Menurut polis, kesemua suspek yang terlibat dalam kes buli tersebut dibawa ke Mahkamah Majistret untuk mendapatkan tempoh reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Kredit: Buletin TV3