Seorang wanita berusia 28 tahun yang baru tiga bulan melahirkan anak sulung ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah selepas disahkan positif dadah jenis syabu dalam Ops Cegah Khas 3.0 yang dijalankan pada Isnin semalam.

Wanita Lepas Pantang Ditahan Bersama Suami Positif Syabu

Wanita itu diberkas bersama suaminya berusia 30 tahun di rumah sewa mereka di Kampung Selamat, Ayer Putih kira-kira jam 10 pagi ketika pasangan berkenaan sedang tidur bersama bayi lelaki mereka. Menurut pengakuan wanita tersebut, dia kembali mengambil dadah sehari sebelum ditahan selepas diberi oleh rakan yang datang ke rumah. Katanya, dia telah lama bergelumang dengan najis dadah sejak sebelum perkahwinan pertama, malah bekas suami serta suami kini turut terlibat sebagai penagih.

Pengarah AADK Kedah, Khairul Anwar Ahmad berkata, operasi yang dijalankan secara serentak di 11 daerah itu menumpukan kawasan panas termasuk Pendang yang kini dikenal pasti sebagai transit dan laluan utama pengedaran dadah. Beliau menjelaskan penagih kini tidak lagi terikat dengan ‘port’ tertentu, sebaliknya beralih kepada kaedah pembelian secara panggilan atau pandu lalu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Menurutnya, daerah Pendang merekodkan tangkapan penagih tertinggi di Kedah sepanjang Januari hingga Jun tahun ini, sekali gus menjadikannya lokasi berisiko tinggi penyalahgunaan dadah. Sepanjang 2023 hingga kini, AADK Kedah telah melaksanakan 339 operasi di seluruh negeri dengan 2,965 individu ditahan melibatkan penagih baru dan mereka yang ingkar syarat rawatan.

Dalam operasi terbaharu ini, seramai 11 individu termasuk seorang wanita ditahan dan kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 untuk tindakan lanjut.

Kredit: Harian Metro

 

[fbcomments]