Tiga maut manakala 36 individu lagi dilaporkan cedera dalam kemalangan yang melibatkan sebuah bas persiaran dan sebuah treler di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran simpang tiga Bahau pada awal pagi tadi.
https://x.com/redzuannewsmpb/status/1799597320528634021?s=46&t=lOtDPMyIYmtDu_EQulWeUw
Bas Yang Dipandu Terbalik Di Cerun Jalan
Berdasarkan laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Rompin iaitu DSP Nor Azman Yusof memaklumkan bahawa kejadian yang berlaku sekitar 1.30 pagi tadi telah mengakibatkan bas yang membawa 39 penumpang itu temasuk dua pemandu terbalik di cerun jalan.
Difahamkan, bas berkenaan sedang dalam perjalanan membawa guru dari Sekolah Kebangsaan Jeram Masjid Tanah, Melaka bersama anak mereka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras.
Nor Azman berkata, mangsa yang maut di tempat kejadian ialah seorang guru Hasnatul Adilah Hassan, 48, manakala pemandu kedua bas berkenaan Mohd Adi Hasan, 29, meninggal dunia semasa di bawa ke hospital, dan seorang lagi guru Hamzah Ahmad, 60, meninggal dunia semasa mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila keadaan gelap di simpang tiga Bahau dan pemandu bas itu telah hilang kawalan dan melanggar sebuah treler yang membawa muatan gelung besi sebelum terbalik di cerun jalan,” jelasnya.
Mangsa yang cedera pula dibawa ke Hospital Muadzam Shah, Rompin dan Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk menerima rawatan lanjut.
Nor Azman turut meminta saksi kejadian supaya tampil membantu pihaknya menjalankan siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kredit: Bernama