Seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya maut selepas ditikam oleh pelajar lelaki 14 tahun dalam kejadian tragis yang berlaku sekitar jam 9.30 pagi tadi.
Pelajar Perempuan Maut Ditikam Rakan Sekolah di Petaling Jaya, Suspek 14 Tahun Ditahan Polis
Difahamkan, suspek yang merupakan pelajar tingkatan dua membawa sebilah pisau ke sekolah sebelum menikam mangsa sehingga menyebabkan kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail mengesahkan tangkapan terhadap suspek telah dibuat sejurus kejadian. Beliau menyifatkan insiden itu sebagai satu tragedi menyedihkan dan memaklumkan motif kejadian masih dalam siasatan.
“Ini satu kejadian yang menyedihkan, pelajar lelaki menikam pelajar perempuan dan mangsa disahkan maut di lokasi kejadian.
“Motif kejadian masih dalam dalam siasatan, tangkapan sudah dibuat dan kenyataan selebihnya akan dikeluarkan Ketua Polis Selangor kemudian,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat bersama pasukan forensik kini berada di lokasi untuk menjalankan siasatan lanjut, termasuk mengenal pasti punca sebenar kejadian dan sama ada terdapat pelajar lain yang turut cedera.
Kredit: Harian Metro