Wilayah di sekitar Gaza dilihat kembali tenang selepas menyaksikan pertempuran hebat selama dua hari antara Jihad Islam Palestin dan Israel.
Jurucakap tentera Israel mengesahkan tiada bedilan roket dilancarkan dari Genting Gaza dari malam hingga pagi.
Difahamkan, situasi menjadi tegang selepas tentera Israel menembak mati anggota Jihad Islam, Mohammed al-Naim yang didakwa menanam peranti letupan di pagar Israel dekat timur bandar Khan Younis.

Ketegangan semakin memuncak apabila sebuah video menunjukkan jentolak Israel cuba menyodok mayat Mohammed tular di media sosial dan mencetuskan kemarahan meluas dalam kalangan rakyat Palestin.
BACA : Mayat Pemuda Palestin Di Heret Oleh Jentolak Israel
Susulan itu, keluarga mangsa turut mendesak Tel Aviv memulangkan mayat Mohammed untuk dikebumikan.
“Anak saya tiada musuh. Dia ialah segala-galanya bagi saya, Dia seorang anak yang baik dan kuat agama.
Apa yang saya mahukan sekarang adalah untuk membawa pulang anak saya. Saya ada hak untuk melihatnya buat kali terakhir, mengucapkan selamat tinggal dan mengebumikan dia dekat dengan saya supaya isteri dan ahli keluarga yang lain boleh melawatnya,” luah ibunya, Mirvat.