Dua hari lepas, kita telah digemparkan dengan satu berita dimana seorang bayi perempuan berusia 18 bulan parah ditikam bapa kandung di rumahnya sendiri. Kejadian berlaku di Puchong Permai, Subang Jaya.

Bapa merupakan seorang kurang siuman

Dalam kejadian sekitar jam 4 petang, mangsa telah ditikam oleh bapanya berusia 27 tahun yang dipercayai kurang siuman.

Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd Khalid Othman, suspek dikatakan mengamuk secara tiba-tiba dan bertindak menikam anak perempuannya itu.

Katanya, sepasukan polis yang menerima maklumat daripada ahli keluarga mangsa kemudiannya bergegas ke lokasi dan berjaya menahan suspek.

Polis juga merampas sebilah pisau pemotong roti yang digunakan untuk menikam mangsa.

Mangsa terpaksa jalani pembedahan

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Rohaizat Yon berkata, mangsa di bawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Serdang.

Pesakit kemudian dirujuk ke Hospital Tunku Azizah (Wanita dan Kanak-Kanak) untuk menjalani pembedahan dan dalam keadaan stabil.

KKM akan terus membuat pemantauan rapi dan memberikan rawatan yang diperlukan.

Panas baran, tertekan & positif syabu

Laporan daripada Ketua Polis Daerah Subang Jaya menyatakan suspek dipercayai mengalami tekanan perasaan selepas berpisah dengan isterinya.

Suspek yang juga pekerja kedai aksesori kenderaan itu dikatakan bercerai dengan isterinya menyebabkan dia mengalami tekanan perasaan.

Hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap suspek mendapati dia positif dadah methamphetamine.

Suspek kini direman selama lima hari bermula hari ini hingga 17 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Terdengar bunyi ketukan kuat

Sementara itu, seorang jiran berkata dalam kejadian itu, dia mendengar bunyi ketukan kuat pada dinding rumah suspek di flat berkenaan sebelum melihat nenek mangsa mundar-mandir di hadapan rumah.

Jiran suspek turut berkata, ketika kejadian dia bersama anak-anaknya sedang menonton televisyen sebelum terdengar bunyi ketukan kuat pada dinding dari rumah sebelah.

Pada mulanya, saya mengingatkan bunyi itu adalah bunyi jiran sedang bertukang. Namun tidak lama kemudian, saya melihat jiran (ibu suspek) dalam keadaan panik di luar rumahnya.

Dia (jiran) memaklumkan anak lelakinya mengamuk lalu menghalaunya keluar rumah sebelum mengunci pintu dari dalam. Ketika itu, dia tidak memaklumkan apa yang berlaku sebenarnya (kejadian tikam).

Beberapa minit kemudian, anggota polis serta bomba datang dan meminta lelaki itu membuka pintu, namun dia enggan menyebabkan pihak polis terpaksa memecah pintu rumah berkenaan.

Menurut jirannya lagi ketika ditemuramah oleh akhbar Metro, polis kemudian menahan lelaki berkenaan dan membawa bayi berkenaan yang dalam keadaan berlumuran darah keluar dari rumah.

Saya mengenali keluarga itu selepas tinggal di sini sejak tiga tahun lalu. Saya difahamkan bayi berkenaan tinggal bersama bapanya selepas lelaki itu bercerai dengan isterinya kira-kira dua tahun lalu.

Sepanjang tempoh itu, bayi berkenaan dijaga oleh neneknya. Ibu suspek ada memberitahu bahawa anaknya menjadi panas baran selepas bercerai dengan isterinya.

Mangsa akan diberikan perlindungan

Difahamkan pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedia memberi perlindungan kepada bayi tersebut. Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, bayi berusia 18 bulan itu mungkin mendapat perlindungan khas  Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas keluar dari hospital.

Saya berasa kesal dengan apa yang berlaku, namun kementerian sedia menawarkan perlindungan untuk mangsa setelah proses siasatan polis diselesaikan nanti.

Dalam masa yang sama, beliau turut berharap masyarakat dapat memanfaatkan talian Nur Kasih 15999 yang turut menerima pesanan melalui aplikasi Whatsapp 019-2615999 untuk perkhidmatan kaunseling.

Ia dengan kerjasama Lembaga Kaunselor Malaysia, sebuah agensi di bawah kementerian itu, bukan sahaja bagi mangsa buat aduan, malah sesiapa ada maklumat awal kes sedemikian.

Kita berharap masyarakat dapat memainkan peranan kerana mereka orang pertama dapat merasai perubahan emosi dan gangguan seseorang sebelum ia merebak lebih jauh.

[fbcomments]