Seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan dilaporkan maut selepas dipercayai telah menjadi mangsa penderaan orang terdekat.

Jadi Mangsa Dera Dan Meninggal Dunia Di Hospital

Berdasarkan laporan Harian Metro, mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor jam 3.50 pagi pada 26 April yang lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara iaitu Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh, beliau memaklumkan bahawa polis menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan dari HSA berhubung mangsa pada 25 April lalu.

Katanya, pada ketika itu bayi perempuan warga asing berkenaan dimaklumkan sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dan disyaki didera.

Polis Menahan 5 Individu Termasuk Pengasuh

Bertindak atas maklumat, polis menangkap dua rakan ibu mangsa yang juga merupakan warga asing dan seorang lelaki tempatan, iaitu teman lelaki kepada salah seorang daripada wanita itu, pada 10 malam, 25 April lalu.

“Turut ditahan pengasuh mangsa iaitu pasangan suami isteri warga tempatan. Tangkapan dilakukan di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini dan semua suspek berusia antara usia 29 hingga 42 tahun.

“Bayi perempuan itu disahkan meninggal dunia kira-kira jam 3.50 pagi pada 26 April dan hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati wujud elemen jenayah dalam kematian mangsa” ujarnya sambil memberitahu polis masih mengesan ibu mangsa yang juga seorang warga Vietnam.

Menurutnya, kesemua suspek direman selama enam hari bermula 26 April oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru dan kes disiasat di bawah seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Kredit: Harian Metro

[fbcomments]