Tindakan dua jururawat lelaki di sebuah hospital di Jombang, Indonesia menerima kecaman hebat apabila mereka dipercayai bersiaran langsung di aplikasi TikTok ketika sedang menjalankan tugas di dewan bersalin.

Dua Jururawat Dipecat Gara-Gara Tayang Prosedur Perubatan Ketika Bersiaran Langsung di TikTok

Lebih mengejutkan, sesi siaran langsung tersebut turut memaparkan sebahagian proses rawatan luka selepas pembedahan bersalin secara caesarean terhadap seorang pesakit, sekali gus mencetuskan kemarahan ramai pihak.

Dalam rakaman yang tersebar luas di media sosial, kedua-dua jururawat itu dilihat berinteraksi dengan penonton secara santai sambil mendedahkan jantina bayi yang baru dilahirkan. Salah seorang daripada mereka turut menyatakan bahawa tindakan itu tidak menyalahi etika kerana wajah pesakit tidak kelihatan.

Insiden tersebut menimbulkan kebimbangan berkaitan etika profesionalisme dan privasi pesakit, terutama dalam era digital yang semakin mencabar batas kawalan maklumat.

Pengarah Hospital PKU Muhammadiyah Mojoagung, Dr Dwi Rizki Wulandari mengesahkan bahawa dua individu terbabit merupakan kakitangan perubatan di fasiliti tersebut. Pihak pengurusan kemudiannya bertindak tegas dengan menamatkan perkhidmatan kedua-dua jururawat itu pada Rabu lalu.

Menurut beliau, petugas kesihatan harus sentiasa menjaga maruah dan kepercayaan yang diberikan oleh pesakit. Penyalahgunaan media sosial dalam situasi sensitif seperti itu bukan sahaja melanggar kod etika, tetapi juga berisiko mencemarkan imej profesion perubatan.

Pihak hospital turut menegaskan komitmen mereka untuk terus memantau dan memperketatkan garis panduan berkaitan penggunaan media sosial dalam kalangan petugas bagi memastikan kes sama tidak berulang.

Kredit: Instagram Fakta Indo

 

 

[fbcomments]