Seorang bekas pemain bola sepak Liga Super Malaysia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Pontian pada Ahad, semalam, atas tiga pertuduhan yang membabitkan kes pecah rumah dan menyimpan harta curi pada Jun lepas dan awal bulan ini.

Mengaku Tidak Bersalah Selepas Pertuduhan Dibacakan

Menurut sumber yang dipetik dari BH Online, tertuduh iaitu Mohd Azinee Taib mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Azzuin Abdul Moati.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh dan dua rakan jenayah yang kini masih lagi bebas didakwa memecah masuk ke dalam sebuah rumah di Taman Benut Utama untuk jenayah mencuri. Kesalahan tersebut berlaku kira-kira jam 12.05 tengah hari pada 8 Jun yang lalu.

Untuk pertuduhan yang kedua Mohd Azinee dituduh bersama-sama dua rakannya iaitu Muhammad Hairul Hafiz Muzaren dan Khairul Akmal Zainol Abidin telah memecah masuk sebuah kediaman di Taman Cendana, Benut bagi jenayah mencuri. Kesalahan itu dilakukan pada 3 Julai yang lalu kira-kira jam 1.15 petang.

Bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh Mohd Azinee didakwa menyimpan harta curi yang melibatkan sebuah telefon bimbit jenama Oppo A5 berwarna putih kepunyaan mangsa rumah yang dipecah masuk. Jenayah itu dilakukan pada 3 Julai lalu di Jeti Ayer Baloi kira-kira jam 4.30 petang. Menurut sumber lagi, pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 45, 411 dan 34 Kanun Keseksaan.

Boleh Disabitkan 14 Tahun Penjara Dan Denda

“Jika disabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebatan. Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi kesemua pertuduhan. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurezzati Zaini manakala tertuduh tidak diwakili peguam”, jelas sumber BH Online.

Mahkamah menetapkan 30 Ogos depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Kredit: BH Online

[fbcomments]