Seorang perawat Islam berkongsi pengalaman membantu satu keluarga yang didakwa diganggu makhluk halus selepas bekas pengasuh anak mereka dipercayai menghantar ilmu hitam akibat menyimpan dendam selepas diberhentikan kerja.

Dendam Lepas Dibuang Kerja, Bekas Pengasuh Didakwa Hantar Gangguan Mistik

Menurut perkongsian perawat yang dikenali sebagai Qiqi di Facebook, wanita berkenaan pernah bekerja hampir empat tahun dengan keluarga terbabit dan sering dipenuhi segala permintaannya oleh majikan. Namun, keadaan berubah apabila pengasuh itu didakwa mencuri wang tunai serta barang kemas, sekali gus membawa kepada keputusan majikan untuk menamatkan perkhidmatannya.

Selepas diberhentikan, keluarga tersebut mula mengalami pelbagai kejadian aneh di rumah. Qiqi mendakwa, tuan rumah menemui beberapa objek mencurigakan yang disorok di dalam laci bilik pengasuh lama itu.

“Hampir 4 tahun bekerja dengan tuan rumah. Baru-baru ini kantoi pengasuh mencuri duit dan barang kemas. Disebabkan itu tuan rumah mengambil keputusan untuk memberhentikan pengasuh. Tuan rumah jumpa barang pelik di dalam laci almari bilik pengasuh, baru tersedar selama ini seperti orang bodoh sahaja,” tulisnya.

Tidak lama kemudian, mereka mula menyedari gangguan mistik yang menakutkan, termasuk terlihat kelibat wanita berambut kusut, bayangan hitam lalu-lalang di dapur serta kelibat makhluk menyerupai monyet berkepala pelik.

Lebih membimbangkan, anak perempuan pasangan itu yang berusia enam tahun dilaporkan sering kerasukan setiap kali azan maghrib berkumandang. Menurut Qiqi, kanak-kanak tersebut akan tiba-tiba kejang dan mulutnya berbuih sebelum berubah menjadi agresif dengan memanjat almari, menjerit, memaki hamun ibu bapanya serta memandang tajam ke arah mereka.

“Ketika dirawat, anak itu mula bercakap dengan suara lain dan menyebut bahawa dia ‘dibuang kerja’, dari situ kami faham punca sebenar gangguan tersebut,” jelas Qiqi. Katanya, proses rawatan ruqyah mengambil masa hampir satu jam bagi mengeluarkan gangguan dari tubuh kanak-kanak berkenaan.

Selepas sesi rawatan, Qiqi dan pasukannya turut melakukan proses ‘memagar’ kawasan rumah dan menemui beberapa barang pelik dipercayai menjadi medium sihir, termasuk objek yang tersembunyi di dalam sebuah anak patung. Dengan izin Allah, katanya, gangguan berjaya dihapuskan dan rumah keluarga tersebut kini kembali tenteram.

Kredit: Facebook Qiqi

 

 

[fbcomments]