Program anugerah hiburan yang berlangsung malam tadi bukan sahaja meraih perhatian kerana pencapaian artis-artis popular, malah turut mencetuskan bualan hangat susulan reaksi penyanyi Bella Astillah ketika mengumumkan pemenang salah satu kategori utama.

Reaksi Bella Astillah Di Pentas Anugerah Tarik Perhatian, Pembantu Peribadi Dakwa Berkait Isu Silam

Bella yang tampil menyampaikan anugerah bagi kategori Selebriti Feminin Terhangat mencuri perhatian warganet apabila dikatakan kelihatan kekok sewaktu menyebut nama pemenang, iaitu pelakon Sophia Albarakbah. Momen singkat itu menjadi tular di media sosial, dengan rata-rata pengguna mendakwa reaksi Bella agak janggal dan tidak selesa.

Namun begitu, Sophia ketika ditemui selepas majlis menyatakan dia tidak menganggap perkara itu sebagai sesuatu yang pelik. Malah, katanya, beliau tidak merasakan dirinya disindir dan enggan mengulas lanjut kerana mahu menjaga suasana positif pada malam anugerah tersebut.

Di sebalik reaksi itu, pembantu peribadi Bella, Niel Rafeq, tampil memberi penjelasan di media sosial bahawa keadaan tersebut bukanlah cerminan sikap sebenar penyanyi itu. Menurutnya, situasi berkenaan mungkin dipengaruhi oleh pengalaman silam yang memberi kesan mendalam terhadap Bella.

“Kawan yang terdekat je tahu apa dia ni buat kat hidup Bella dulu dan itu bukan cara Bella menyampaikan anugerah tapi tadi jadi macam tu mungkin pada orang yang dah memberi trauma pada hidup dia. Dia gigil sebab dia trauma. Dia je pernah nampak apa yang orang tak tahu sehingga harini. Sebab Bella selalu pesan pada kami yang penting Allah tahu.

“Dia selalu percaya Allah akan sayang dan beri yang terbaik buat orang yang sabar,” tulis Niel sambil menyatakan bahawa Bella pernah melalui situasi traumatik yang tidak diketahui umum.

Dalam perkembangan lain, Bella dikatakan tidak menghadiri sesi sidang media selepas acara tamat, meskipun turut diumumkan sebagai pemenang kategori Selebriti Couple Goals Terhangat bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq.

Kredit: Instagram nielrafeq

 

[fbcomments]