Baru-baru ini tular sebuah video di laman X berkenaan tentang seorang wanita telah menerjah bahagian solat jemaah lelaki tanpa menutup aurat kerana tidak berpuas hati dengan suara bilal yang mendakwa telah mengganggu kejiranan terdekat.
Kejadian di Masjid Jamek Ar-Rahman Batu Feringghi kira-kira 10 malam, 12 Mac lalu.
Pihak masjid pada asalnya tidak membuat sebarang laporan polis kerana beranggapan wanita itu mungkin ada masalah mental.
Namun, pihak masjid mengubah pendirian dengan membuat laporan setelah… pic.twitter.com/MaLmlBi3UA
— MYNEWSHUB (@mynewshub) March 17, 2024
Sudah Buat Laporan Polis
Berdasarkan video yang dikongsikan oleh @mynewshub di laman X, difahamkan kejadian tersebut berlaku pada 12 Mac yang lalu dan ianya terjadi di Masjid Jamek Ar-Rahman Batu Feringghi kira-kira 10 malam.
Menerusi video yang dikongsikan, dapat dilihat seorang wanita bertindak pergi ke bahagian jemaah lelaki dan dikatakan telah menanyakan beberapa soalan yang kurang sopan berhubung suara bacaan iman dan bilal masjid yang didakwanya mengganggu kejiranan berdekatan.
Disebabkan isu itu, Pengerusi Kariah Masjid Jamek Ar-Rahman Batu Feringghi iaitu Ismail Din telah mengambil tindakan dan pihaknya juga sudah membuat laporan polis, serta segala tindakan akan diserahkan kepada pihak berkuasa.
“Memang insiden itu berlaku di masjid ini beberapa hari lalu, namun saya harap orang ramai tidak mengambil tindakan sendiri. Wanita berkenaan datang sendirian dan kebetulan ketika itu kebanyakan jemaah melakukan solat sunat witir serta hampir selesai.
“Pada mulanya saya tidak mahu panjangkan hal berkenaan namun apabila insiden itu tular di media sosial, pihak pengurusan masjid terpaksa membuat laporan polis bagi mengelak kejadian yang sama berulang,” jelasnya.
Katanya Wanita Terbabit Ada Masalah Mental
Tambah Ismail lagi, insiden seperti ini adalah kali ketiga berlaku di masjid berkenaan oleh wanita yang sama, perbezaannya hanyalah dua sebelum ini dilakukan menerusi kiriman surat kepada pihak masjid. Beliau turut berkata laungan azan Subuh di masjid itu dikatakan telah menggangu wanita terbabit serta jiran lain yang sedang tidur.
“Tiada laporan polis dibuat ketika itu dan kami sudah memastikan penggunaan pembesar suara tidak mengganggu kejiranan.”
“Namun ketika hari kejadian, kami dapati wanita terbabit seakan-akan mempunyai masalah kesihatan berkaitan mental dan kerana itulah laporan polis tidak dibuat sehinggalah ia tular di media sosial, barulah laporan polis dibuat,” ujarnya.
Dalam pada itu, kakak kepada wanita berkenaan juga telah menghubungi Ismail dan menjelaskan adiknya itu sememangnya mempunyai masalah kesihatan berkaitan mental selepas pulang dari luar negara.
“Wanita itu mendakwa adiknya sebelum ini seorang yang taat kepada agama dan sering menaja individu bagi menunaikan umrah. Dia kemudian menetap di London sebelum mengalami gangguan kesihatan mental sebaik pulang ke tanah air.
“Bagi kejadian ini, saya berharap orang ramai tidak mengambil tindakan sendiri dan bertenang serta serahkan kepada tindakan polis. Kami juga tiada tindakan susulan, cuma merancang mahu mengadakan majlis pertemuan supaya dia boleh membuat permohonan maaf serta merapatkan kembali ukhwah kedua-dua pihak.
“Kami faham dia ‘sakit’ dan tidak mahu ia berlarutan, cuma biar sahaja pihak berkuasa jalankan tindakan,” jelasnya di akhir kata.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan.
Kredit: X mynewshub