Seorang lelaki warga emas berusia 81 tahun didakwa bertindak membakar sebahagian rumah jagaan di Padang Besar, Perlis selepas berang kerana tidak dibenarkan keluar bersama teman wanitanya untuk mendapatkan alat bantuan pendengaran di Kangar.

Warga Emas Berang Bakar Rumah Jagaan Kerana Dilarang Keluar Bersama Teman Wanita

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.31 pagi dan pusat jagaan itu menempatkan seramai 20 penghuni.

Menurutnya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek dipercayai memulakan kebakaran dari kawasan almari di dapur, sebelum api merebak ke dewan utama.

“Kebakaran memusnahkan kira-kira 50 peratus ruang dewan utama,” katanya.

Hasil siasatan awal mendapati suspek bertindak demikian kerana tidak berpuas hati dengan penjaga pusat jagaan yang menolak permintaannya untuk keluar ke Kangar bersama teman wanitanya, yang juga penghuni di situ.

Pasukan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis serta Unit Forensik Polis telah dipanggil bagi membantu siasatan. Nilai kerugian masih dalam penilaian.

Suspek telah ditahan namun dibebaskan dengan jaminan polis. Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.

Kredit: Harian Metro

 

[fbcomments]