Selebriti dan ahli perniagaan yang memiliki kenderaan mewah seperti Ferrari, Lamborghini dan Porsche kini berada dalam radar Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) susulan kegagalan memperbaharui cukai jalan dan perlindungan insurans dalam tempoh yang panjang.

JPJ Pantau Pemilik Kenderaan Mewah ‘Liat’ Bayar Cukai Jalan, Tidak Akan Berkompromi Jika Kesalahan Dikesan

Difahamkan, antara alasan yang diberikan oleh pemilik kenderaan terbabit adalah kerana kenderaan itu jarang digunakan, khususnya hanya dipandu pada hujung minggu.

Bagaimanapun, Pengarah Kanan Penguatkuasaan Undang-Undang JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan menegaskan bahawa kegagalan memperbaharui cukai jalan tetap merupakan satu kesalahan, tanpa mengira kekerapan penggunaan kenderaan.

“Alasan jarang guna tidak boleh diterima kerana kenderaan itu masih berstatus aktif dan berada di atas jalan raya. Ia tetap menjadi satu kesalahan sekiranya tidak diperbaharui dalam tempoh sepatutnya,” katanya.

Beliau turut menambah, JPJ telah mengenal pasti individu terbabit dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sekiranya kenderaan berkenaan dikesan digunakan di jalan raya.

Terdahulu, JPJ mendedahkan bahawa lebih 1,000 buah kenderaan mewah dalam negara tidak memperbaharui cukai jalan dalam tempoh yang panjang.

Malah, menerusi Ops Luxury yang dijalankan selama tiga hari bermula 30 Julai lalu di sekitar Lembah Klang, sebanyak 53 buah kenderaan mewah bernilai jutaan ringgit telah disita.

Untuk rekod, 154 kenderaan mewah telah disita sepanjang dua siri Ops Luxury yang dijalankan sepanjang bulan Jun dan Julai tahun ini.

JPJ menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan diteruskan bagi memastikan semua pemilik kenderaan mematuhi undang-undang jalan raya yang ditetapkan.

Kredit: Buletin TV3

 

[fbcomments]