Dua pelajar dari sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) telah dicekup berkhalwat selepas mereka ditangkap bersekedudukan di sebuah pangsapuri dekat Meru Raya, Ipoh, pada Isnin, atas alasan takut tinggal bersendirian di rumah kerana rakan pulang ke kampung masing-masing.

Pelajar IPT Dicekup Berkhalwat

Memetik laporan Sinar Harian, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) iaitu Harith Fadzilah Abdul Halim memaklumkan bahawa, pasangan berkenaan telah menetap bersama di kediaman tersebut sejak lebih seminggu yang lalu.

Serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota Bahagian Penguat Kuasa JAIPk pada pukul 11.30 pagi, hasil maklumat daripada orang awam.

Pelajar wanita berusia 22 tahun tersebut ditahan bersama pasangannya yang berumur 20 tahun, yang juga merupakan pelajar di institusi pengajian tinggi yang sama.

“Wanita itu memberi alasan bahawa dia tinggal berseorangan kerana rakan serumahnya pulang ke kampung.

“Bimbang keselamatan diri, dia menumpang di rumah sewa pasangannya kerana kebetulan rakan lelaki tersebut juga balik bercuti,” katanya.

Menurut Harith Fadzilah lagi, mereka telah dibawa ke Pejabat Penguat kuasa JAIPk bagi siasatan lanjut di bawah  Seksyen 54(1) dan (2) Enakmen Jenayah (Syariah) 1992P.

Pasangan tersebut kemudiannya telah dibebaskan dengan bon jaminan penguat kuasa.

“Pasangan remaja dinasihatkan agar menjaga tingkah laku dan batas pergaulan.

“Masyarakat setempat juga diharap dapat memainkan peranan serta membudayakan amar makruf nahi mungkar dalam mengekang pelakuan maksiat dalam kalangan umat Islam,” ujarnya.

Kredit: Sinar Harian

[fbcomments]