Tindakan sekumpulan lelaki dipercayai pencipta kandungan (content creator) memuat naik video memaparkan pemberian sisa makanan kepada seorang gelandangan telah mencetuskan kemarahan ramai dan kini sedang disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
@brofirdauswong Selepas ini, minta maaf, selesai. Alhamdulilah Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk menghina orang miskin TETAPI Islam mengajarkan umatnya untuk membantu orang miskin. Ini hanya kebiadaban 3 remaja ini bukan keseluruhan kaum Cina. Inilah apa yang berlaku bila menyalahgunakan akal yang Allah kurniakan demi konten.
Guna Gelandangan Demi Konten, MCMC Jalankan Siasatan
Menerusi rakaman yang tular di media sosial, individu-individu terbabit dilihat membeli makanan dari restoran makanan segera, namun kemudian memakan ayam goreng tersebut sebelum membungkus sisa tulang ayam bersama nasi untuk diberikan kepada seorang gelandangan yang sedang berbaring di kaki lima.
Situasi bertambah mengejutkan apabila reaksi gelandangan terbabit yang hanya mampu terdiam selepas membuka bungkusan tersebut turut dirakam, sekaligus menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan penonton. Pada penghujung video, salah seorang daripada mereka turut menyerahkan cebisan ayam kepada seekor anjing.
Tindakan mereka itu menerima kecaman hebat dari warganet yang menyifatkannya sebagai biadab, tidak beretika dan mempermainkan nasib golongan kurang bernasib baik semata-mata demi kandungan hiburan.
![]()
Ekoran penularan video berkenaan, ramai pengguna media sosial menggesa agar pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MCMC mengambil tindakan sewajarnya.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, MCMC mengesahkan telah memulakan siasatan berdasarkan aduan awam. Suruhanjaya itu turut menegaskan bahawa sebarang kandungan yang mengeksploitasi golongan terpinggir hanya demi menjana tontonan adalah tidak beretika serta boleh menimbulkan keresahan awam.
![]()
“Penyebaran kandungan yang merendah atau menghina maruah individu bukan sahaja tidak beretika, malah mendorong kepada normalisasi budaya tidak berperikemanusiaan dalam masyarakat,” menurut kenyataan tersebut.
MCMC turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah mengikut peruntukan undang-undang sedia ada. Orang ramai juga diingatkan agar tidak menyebarkan kandungan berunsur provokasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
Menurut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), pesalah boleh didenda sehingga RM500,000 atau dipenjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah menyebarkan kandungan jelik, palsu atau berunsur ancaman.
Kredit: TikTok firdauswong, Sinar Harian