Penemuan enam sekeluarga yang maut di dalam kereta tenggelam di dasar Sungai Korok pagi tadi menamatkan pencarian yang mencetuskan kebimbangan sejak Sabtu lalu. Namun, penemuan kedudukan jasad mangsa menunjukkan mereka sempat berusaha menyelamatkan diri sebelum tragedi meragut nyawa berlaku.
![]()
Usaha Enam Sekeluarga Selamatkan Diri Gagal, Ditemui Meninggal Dunia Dalam Kereta Tenggelam
Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, kesemua mangsa ditemui berkumpul di bahagian belakang kiri kenderaan, dipercayai ketika cuba mencari jalan keluar.
“Tiada cermin yang pecah semasa kami temui kenderaan itu. Pasukan penyelamat terpaksa memecahkan tingkap dan memotong bahagian tertentu kereta untuk mengeluarkan semua mayat,” jelasnya.
Tambah beliau, tindakan mangsa yang berkumpul di satu bahagian kenderaan memberi petunjuk bahawa kemungkinan besar berlaku usaha untuk menyelamatkan diri, namun keadaan tidak memihak kepada mereka.
Mangsa terdiri daripada pasangan suami isteri, Muhammad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat anak mereka iaitu Putra Rayyan Nur Izat, 9; Hawa Adriana, 8; Anayla Huma’ira, 7; dan bayi lelaki berusia enam bulan, Tuah Haidar.
![]()
Kesemua mereka dilaporkan hilang sejak Sabtu selepas bermalam di rumah ahli keluarga di Taman Aman, Jitra. Kehilangan itu disedari apabila mereka tidak pulang ke rumah di Jerlun seperti kebiasaan dan gagal dihubungi oleh ahli keluarga.
Pencarian secara besar-besaran digerakkan termasuk laporan polis dibuat di Balai Polis Jitra. Kenderaan jenis Proton Saga Iswara milik mangsa akhirnya ditemui tenggelam di dasar Sungai Korok oleh pasukan penyelamat yang melakukan pencarian di kawasan itu pagi tadi.
Ketika kenderaan dinaikkan, kesemua mangsa berada di dalam keadaan tidak sedarkan diri. Pemeriksaan lanjut mengesahkan tiada kesan kemalangan luaran atau cermin pecah sebelum operasi menyelamat dijalankan.
Mayat kesemua mangsa telah dibawa ke hospital untuk proses bedah siasat dan pengurusan selanjutnya.
Kredit: Kosmo!