fbpx

Seorang lelaki dilaporkan cedera di bahagian lengan dan rusuk kiri akibat tertusuk batang besi selepas dipercayai besi tersebut terjatuh daripada sebuah lori dalam kejadian di Jalan Pantai Sepat semalam.

Besi Melayang Dan Menembusi Cermin Depan Kereta Sebelum Terkena Lengan Dan Rusuk Kiri Mangsa

Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan iaitu Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, beliau memaklumkan bahawa ekoran kejadian itu, mangsa yang bernama Jamaluddin Amin, 45, menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Difahamkan, batang besi sepanjang 0.75 meter itu terjatuh dan melayang sebelum menembusi cermin depan kereta yang dipandu mangsa, kemudian ianya terkena pada lengan dan rusuk kiri pada jam 3.30 petang.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Alza dalam perjalanan dari arah Penor menghala ke arah Tanjung Lumpur, di sini.

“Setibanya di tempat kejadian, sebatang besi dipercayai jatuh daripada sebuah lori dari arah bertentangan terkena cermin depan sebelum menembusi cermin depan kereta dan terkena lengan dan rusuk kiri mangsa.

“Mangsa dibawa ke HTAA di sini untuk rawatan lanjut,” katanya.

Polis Dalam Usaha Mengesan Pemandu Lori Terbabit

Beliau turut menambah usaha mengesan pemandu serta lori dipandu masih dijalankan. Berdasarkan maklumat awal, lori yang digunakan dipercayai berwarna hijau.

“Lori berkenaan jenis `roro’ yang membawa sisa bahan binaan tetapi nombor pendaftaran tidak dapat dipastikan. Kita juga mengesan saksi awam untuk membantu siasatan,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana cuai hingga mendatangkan kecederaan terhadap orang awam.

Kredit: Berita Harian

[fbcomments]