Sebanyak 204 unit produk bijirin yang dipercayai mengandungi kandungan berasaskan babi bernilai RM2,445 dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam satu serbuan di sebuah premis perniagaan di Sungai Buloh.
Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, siasatan mendapati produk tersebut diimport dari Korea dan tidak mempunyai pelabelan berhubung nama dan alamat pengimport atau pekilang.
Maklumat yang tertera pada kotak produk tersebut pula ditulis dalam bahasa Korea dan tidak mempunyai sebarang tulisan dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris yang membolehkan pengguna di negara ini mendapat maklumat yang sewajarnya.
Seharusnya peniaga perlulah lebih bertanggungjawab menjalankan perniagaan manakala pengguna perlu berhati-hati membeli produk yang tidak mempunyai logo pengesahan halal.