Nama youtuber Sugu Pavithra sedang melonjak naik ketika ini.Berkongsi video-video masakan santai tanpa suntingan profesional, tempoh PKP menjadi permulaan transformasi dapur rumah mereka sebagai sumber pendapatan.
Sejak membuat keputusan berhenti kerja di estet, M. Sugu, 29, kini menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap kandungan YouTube Sugu Pavithra. Daripada seorang pekerja ladang kelapa sawit yang melakukan kerja-kerja memotong buah kepada YouTuber. Kehidupan mereka benar-benar berubah.
Pendidikan terhenti di tingkatan 2
Lebih tiga tahun Sugu menyara keluarganya dengan membanting tulang di estet. Pendidikan pula terhenti setakat di tingkatan 2. Banyak pekerjaan pernah dibuat termasuk sebagai tukang cuci di Singapura.
Bapa kepada dua anak lelaki itu kini membantu merakam video aksi isterinya memasak. Sugu realistik untuk menumpukan sepenuhnya terhadap YouTube. Perniagaan berasaskan makanan juga menjadi pertimbangan terdekat.
Utama privasi
Isu penetapan harga sehingga RM10,000 untuk muncul di program TV yang tular baru-baru ini menjadi perbualan hngat netizen. Majoriti menyebelahi pendirian pasangan suami isteri ini. Mereka akui populariti yang diraih sekarang perlu dimanfaatkan sehabis baik. Bagaimanapun ada had yang enggan dilangkaui.
Sebagai ketua keluarga, Sugu mahu melindungi privasi keluarga. Liputan media berlebihan kurang disenangi meskipun kebanyakan tawaran yang datang bukan calang-calang. Program-program TV berlumba-lumba mahu menjemput mereka. Namun mereka menolaknya dengan baik.
Tak kisah kalau esok lusa tak lagi popular
Pavithra memberitahu pemikiran, penerimaan dan pemahaman mereka berbeza. Pavithra lebih terbuka dengan pelawaan daripada stesen-stesen TV dan media.
“Saya tak ada masaIah untuk keluar TV, tetapi mestilah dengan keizinan suami. Buat masa sekarang dia masih tak benarkan. Jadi saya ikut sahaja yang terbaik. Kami pun masih baru dalam bidang ini. Banyak lagi perlu belajar.”
“Dulu kita miskin dan orang anggap kita akan selama-lamanya hidup susah. Bila senang sedikit, ada juga orang tak suka. Sindiran seperti sekarang lupa dirilah dan tak sabar tengok kejatuhan kami pun ada.
“Kami tak kisah pun kalau esok lusa tak lagi popular atau YouTube tak lagi mampu beri pendapatan. Kami memang asalnya susah, jadi kalau susah semula tak akan mematahkan semangat,” luah Pavithra.
Pavithra juga turut mendedahkan sejak menjadi tumpuan masyarakat, dia menerima panggilan daripada saudara-mara dan rakan-rakan yang telah menghilang sejak bertahun-tahun. Namun dia sambut semuanya dengan baik tanpa prasangka.