fbpx

Seorang penunggang motosikal nyaris kehilangan nyawanya selepas tayar lori yang tercabut menghentam motosikalnya di Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur pada 23 Ogos yang lalu.

Hampir Kehilangan Nyawa Selepas Motor Dihentam Tayar Terbang

Memetik laporan Mstar, mangsa yang bernama Kapiau Saini, 55, dikatakan sedang dalam perjalanan pulang selepas menghantar anaknya ke sekolah sekitar pukul 11.30 pagi. Ketika sedang menuju ke surau, beliau terlihat tayar lori bergolek laju ke arah motosikalnya.

“Selepas hantar anak, saya nak ke surau untuk bentang sejadah dan buat kerja-kerja lain sebagai persediaan solat Jumaat. Ketika di tempat kejadian, saya ternampak sebiji tayar bergolek tapi tak tahu ia dari mana namun begitu laju menuju ke arah saya,” ceritanya.

Tidak sempat bertindak, tayar tersebut menghentam handle dan tayar depan motosikalnya, menyebabkan beliau hilang kawalan dan terjatuh di tengah jalan.

Kapiau yang juga bilal di Surau Al-Hijrah di PPR Pantai Ria, Kuala Lumpur, menjelaskan bahawa beliau segera melarikan diri ke tepi jalan dan bersyukur kerana hanya mengalami kecederaan ringan.

Beberapa pengguna jalan raya, termasuk kenalan anaknya, berhenti untuk membantu dan beliau dihantar ke hospital menggunakan ambulans. Kapiau menerima rawatan selama tiga hari untuk luka di lengan, kepala, bahu, dan lutut.

Walaupun insiden tersebut berlaku seminggu lalu, Kapiau masih trauma setiap kali melihat video kemalangan itu. Beliau menyatakan keyakinan bahawa doa orang ramai memainkan peranan penting dalam keselamatannya. Kapiau kini berehat daripada kerja sambilan sebagai pemandu van sekolah, dengan nasihat daripada isteri dan anak-anaknya untuk fokus pada pemulihan.

Beliau berharap pihak yang mengendalikan kenderaan berat lebih peka terhadap aspek keselamatan untuk mengelakkan kemalangan yang boleh mengancam nyawa.

Kredit: Mstar

 

[fbcomments]