fbpx

Seorang lelaki yang juga merupakan suspek dalam kes pembunuhan seorang guru wanita iaitu Mohd Fadzly Ariffadzilah telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Gajah hari ini.

Tertuduh yang berusia 36 tahun dan merupakan bekas guru itu didakwa membunuh Istiqomah Ahmad Rozi dalam kejadian pada Disember tahun lalu.

Suspek Dituduh Di Mahkamah Hari Ini

Di hadapan Majistret Dr. Teoh Shu Yee, Mohd Fadzly hanya mengangguk sebagai tanda faham ketika pertuduhan dibacakan, namun tiada pengakuan rasmi dibuat. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, serta sekurang-kurangnya 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding tersebut, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim telah membantah sebarang permohonan jaminan untuk tertuduh dan memohon agar tarikh sebutan baru ditetapkan bagi menunggu laporan ujian DNA dan bedah siasat.

Majistret Dr. Teoh Shu Yee kemudiannya menetapkan 22 Oktober sebagai tarikh sebutan semula kes dan penetapan peguam.

Kes ini melibatkan tuduhan pembunuhan terhadap Istiqomah Ahmad Rozi, seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Masai 3, yang dilaporkan hilang sejak 27 Disember lalu.

Penemuan mayat tanpa kepala, tangan, dan kaki yang disumbat dalam tong sampah dan dibuang ke dalam longkang di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, Alor Gajah pada 31 Disember telah mengesahkan identiti mangsa. Pengesahan tersebut dilakukan melalui ujian DNA pada 2 Ogos yang membuktikan bahawa mayat itu adalah milik guru yang hilang tersebut.

Kredit: Berita Harian

[fbcomments]