fbpx

Seorang pelajar perempuan tingkatan dua dilaporkan telah ditahan pada Khamis semalam selepas dipercayai membuang bayi di kawasan semak perumahan Lorong 19 Cahaya Damai, Bandar Samariang, Kuching, Sarawak.

Ibu Bayi Baru Berusia 14 Tahun

Berdasarkan sumber yang dilihat dari Majoriti Official, Ketua Polis Daerah Kuching iaitu Asisten Komisioner Ahsmon Bajah memaklumkan bahawa pihak mereka telah mengesan dan menahan remaja perempuan berusia 14 tahun tersebut di kawasan Matang pada jam 8 malam, Rabu.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya.

Bayi Ditemukan Dalam Beg Plastik

Menurut Ahsmon lagi, pihaknya dimaklumkan mengenai penemuan bayi perempuan itu oleh orang awam sekitar jam 9 pagi dan dikatakan bayi berkenaan dijumpai dalam beg plastik selepas penduduk berdekatan mendengar tangisannya yang nyaring.

“Bayi berkenaan telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk pemeriksaan lanjut dan akan dirujuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut,” katanya sambil menjelaskan bayi berkenaan ditemui dalam keadaan sihat.

Kredit: Majoriti Official

[fbcomments]