fbpx

Baru-baru ini kecoh di media sosial mengenai pasangan berdua-duaan di dalam sebuah kereta jenis Axia di kawasan masjid hingga mengundang pelbagai reaksi warga maya.

Difahamkan kejadian tersebut telah menyebabkan pemilik sebenar kereta Axia terbabit dikecam teruk kerana meminjamkan kenderaannya itu kepada si pelaku untuk melakukan maksiat di tempat yang tidak sepatutnya.

Video di bawah:

https://x.com/update11111/status/1796089820042629609?s=46&t=lOtDPMyIYmtDu_EQulWeUw

Pemilik Kereta Sebenar Axia Dedah Pelaku Mohon Maaf

Terbaharu, selepas kejadian tersebut menjadi bualan hangat sejak semalam, anak kepada pemilik kereta terbabit iaitu Hilmi Hamdan tampil menjelaskan bahawa si pelaku telah memohon maaf atas perbuatan yang sudah mencemarkan nama baik keluarganya.

“Ini adalah kenyataan terakhir saya berkaitan kes tular, pesalah telah meminta maaf kepada keluarga kami. Pasangan lelaki dan perempuan itu telah hubungi ahli keluarga kami melalui panggilan telefon.

“Keluarga kami di Terengganu, manakala pesalah berada di Kuala Lumpur. Pesalah lelaki telah “serah diri” kepada pihak AJK masjid Gombak Utara di mana kesalahan itu dibuat.

“Dia menemui sendiri perakam, tukang viral, dan beberapa AJK Masjid. Katanya ada kesefahaman antara kedua-dua pihak sebagai syarat permohonan maaf diterima,” tulis Hilmi menerusi Facebook.

Hilmi turut menambah bahawa dia enggan untuk mendedahkan wajah pelaku kerana mahu menjaga aib dan berharap kejadian yang berlaku ini dapat memberi pengajaran buat kedua-dua belah pihak yang terlibat.

Terpedaya Dengan Hasutan Syaitan

Menurut Hilmi lagi, kemungkinan pada hari kejadian pelaku tidak sedar akan perbuatannya kerana terpedaya dengan hasutan syaitan.

“Ada yang minta kami dedahkan muka pesalah sebagai tanda kami tak tipu. Malah ramai juga yang minta kami suruh pesalah itu sendiri membuat kenyataan maaf secara terbuka atas kes “kawan khianat kawan”.

“Minta maaf sahabat-sahabat, agama ajar kita supaya jangan jadi pendendam. Pesalah adalah rakan baik adik saya. Dia juga pernah bertandang ke rumah kami di Terengganu.

“Pesalah yang kami kenal adalah seorang kawan yang baik, cuma mungkin pada hari kejadian dia sedikit “terbabas” dan terpedaya dengan hasutan syaitan. Semoga Allah ampuni dosa mereka.

“Kalau kami dedah muka pesalah, bermakna kami telah membunuh masa depan seorang anak muda yang terkhilaf hari ni, yang boleh jadi akan menjadi seseorang yang berjasa pada masa akan datang,” ceritanya.

Hilmi turut memaklumkan bahawa individu yang menularkan video berkenaan telah meminta maaf atas tindakannya yang telah mengundang fitnah ke atas pemilik Axia berkenaan di media sosial.

Sementara itu, pihak Masjid Gombak Utara dalam satu kenyataan memohon kerjasama daripada orang ramai untuk menurunkan video tular tersebut bagi mengelakkan fitnah berlarutan.

Kredit: X update11111, Facebook Hilmi Hamdan

[fbcomments]