fbpx

Baru-baru ini, tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp mengenai dakwaan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun diculik oleh dua lelaki warga asing di Setia Alam, Shah Alam. Namun, pihak polis telah mengesahkan bahawa kejadian tersebut tidak pernah berlaku.

Dakwa Diri Diculik Tapi Sebenarnya Takut Mahu Pulang Ke Rumah

Menurut laporan yang dipetik dari Harian Metro, Timbalan Ketua Polis Shah Alam iaitu Superintendan Ramsay Embol menyatakan bahawa kanak-kanak tersebut sebenarnya ditemui oleh orang awam berhampiran sebuah pusat beli-belah di kawasan tersebut. Laporan kehilangan itu dibuat oleh bapa kanak-kanak tersebut pada 28 Ogos, sekitar jam 11.16 malam, yang mendakwa anaknya telah diculik oleh dua lelaki warga asing yang menggunakan sebuah kenderaan.

Hasil siasatan terperinci yang dijalankan oleh pihak polis mendapati bahawa dakwaan penculikan tersebut adalah tidak berasas dan tidak berlaku seperti yang tular di media sosial. Sebenarnya, setiap hari, kanak-kanak itu mengikuti kelas pengajian al-Quran di sebuah surau berhampiran rumahnya dari jam 8 hingga 9 malam. Pada hari kejadian, selepas kelas, kanak-kanak tersebut tidak terus pulang ke rumah tetapi memilih untuk berjalan seorang diri ke arah sebuah pusat beli-belah dengan niat untuk melarikan diri daripada rumah.

Dalam perjalanan itu, kanak-kanak tersebut ditemui oleh sepasang suami isteri yang kebetulan melalui jalan yang sama. Pasangan tersebut kemudian membawa kanak-kanak itu ke sebuah stesen minyak di Setia Alam untuk membeli makanan. Setelah selesai, kanak-kanak itu meminta izin untuk ke tandas dan di situlah dia membuat panggilan kepada bapanya. Dalam panggilan tersebut, kanak-kanak itu mereka cerita bahawa dia telah diculik kerana takut dimarahi oleh bapanya.

Superintendan Ramsay juga memaklumkan bahawa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tersebut tidak menunjukkan sebarang kejadian seperti yang didakwa. Saksi yang terlibat telah dikenal pasti dan dipanggil untuk memberikan keterangan.

Kes ini akhirnya diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (No Further Action) oleh pihak polis.

Kredit: Harian Metro

[fbcomments]