Seorang murid lelaki berusia lapan tahun dilaporkan meninggal dunia ketika sedang mengambil wuduk di perkarangan luar masjid selepas dihempap dinding yang runtuh di masjid terbabit. Kejadian ini difahamkan berlaku di Masjid Raya Lubuk Minturun di Daerah Kota Tangah, Sumatera Barat pada Isnin lalu.
Maut Dihempap Dinding Runtuh Ketika Ambil Wuduk
Berdasarkan sumber yang dilihat dari Tribun News, kejadian berlaku kira-kira jam 3.09 petang waktu tempatan dan ianya dirakam menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV). Menerusi video yang kian tular di laman sosial susulan isu tersebut, ia memaparkan dua orang kanak-kanak sedang berada di tempat mengambil wuduk. Namun apabila sebuah motosikal melanggar dinding secara tiba-tiba, dinding tersebut jatuh menghempap salah seorang dari kanak-kanak berkenaan.
Manakala seorang lagi kanak-kanak yang terselamat dilihat terpinga-pinga dan panik selepas melihat mangsa dihempap tembok konkrit itu.
Pulang Ke Masjid Selepas Teman Rakan Makan Di Gerai
Menurut salah seorang saksi yang berada di berdekatan, difahamkan mangsa dan rakannya baru saja pulang dari menjamu selera di gerai bersebelahan masjid dan kembali semula ke masjid sebelum kejadian itu berlaku. “Saya terkejut melihat seorang kanak-kanak dihempap dinding dan tiada siapa yang berani mengangkatnya. Ada juga yang menjerit meminta bantuan”, kata saksi tersebut.
Mangsa kemudian berjaya dibawa keluar oleh seorang pemandu lori yang melalui lokasi kejadian dan membawanya menaiki kenderaan tersebut ke hospital.
Cedera Parah Di Kepala Dan Meninggal Dunia
Ketua Unit Polis Trafik Padang Gakkum, Inspektor Arisman memaklumkan mangsa meninggal dunia akibat dihempap dinding konkrit yang runtuh selepas dilanggar oleh sebuah motosikal jenis Yamaha Mio. Katanya, penunggang motosikal tersebut merupakan seorang pelajar berusia 13 tahun dan bersekolah di sebuah Sekolah Menengah Pertama (SMP).
“Susulan kejadian, mangsa yang sedang mengambil wuduk maut apabila dinding yang dilanggar motosikal tersebut jatuh menimpanya. Kanak-kanak itu mengalami cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia. Motosikal yang dinaiki remaja terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar tembok konkrit itu”, jelas Arisman.
Pihak polis telah menahan penunggang motosikal terbabit untuk siasatan lanjut, manakala motosikal yang ditunggangi olehnya telah dibawa ke Unit Kemalangan Trafik Polis Padang.
Kredit: Tribun News