Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun ditemui maut selepas basikal yang ditungganginya dilanggar oleh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika berbasikal di taman perumahan yang terletak di Lorong 14 Kampung Padang Jaya 2, di sini, pada petang Rabu, semalam.

Maut Dilanggar Kereta

Berdasarkan sumber yang dilihat dari Sinar Harian, mangsa iaitu Muhammad Azzim Imni Mohd Faizal, 8, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu MPV jenis Toyota Innova iaitu wanita yang berusia 33 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, memaklumkan bahawa pemandu wanita terbabit sedang melalui Lorong Kampung Padang Jaya 14 menuju ke Jalan Kampung Padang Jaya 8 untuk ke Sungai Lembing.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa yang menaiki basikal dipercayai secara tiba-tiba melintas dari kiri ke kanan jalan untuk pulang ke rumahnya di Lorong Kampung Padang Jaya 15. Ekoran jarak yang terlalu dekat, pemandu MPV tidak sempat mengelak lalu terlanggar mangsa”, jelas beliau.

Meninggal Dunia Di Tempat Kejadian

Menurut Wan Mohd Zahari lagi, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan kini dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat dan kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Info tambahan, mangsa merupakan seorang murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Padang dan kemalangan terjadi kira-kira jam 6.45 petang, Rabu, semalam.

Kredit: Sinar Harian

[fbcomments]